KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Pihak IKIM ingin memaklumkan bahawa akaun Facebook palsu yang menggunakan nama penyampai radio IKIMfm “Siti Rohani Surani” masih aktif membuat pelbagai hantaran berbentuk video dan gambar pihak lain yang menggunakan kapsyen yang boleh mengundang fitnah serta menjejaskan maruah individu atau organisasi tertentu.
Pihak IKIM memandang serius perkara ini kerana perbuatan tersebut boleh menjejaskan kredibiliti radio IKIMfm serta menimbulkan salah faham terutama pihak pengiklan radio yang turut menjadi mangsa di dalam hantaran akaun facebook palsu itu.
Untuk makluman, Siti Rohani Surani hanya mempunyai akaun Facebook rasmi yang menggunakan nama “Siti Rohani Surani – Rasmi”. Sebarang kandungan yang dimuat naik di akaun Facebook palsu tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan IKIMfm mahupun beliau.
Tindakan memalsukan akaun media sosial dengan menggunakan nama penyampai IKIMfm sejak tahun 2013 adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.
Untuk rekod, pihak IKIM telah membuat laporan polis, laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pihak Meta Platforms, Inc. (Meta) bagi tindakan lanjut. Selain itu, pihak IKIM juga telah mengeluarkan beberapa kenyataan penafian sebelum ini bagi menjelaskan bahawa akaun tersebut adalah palsu dan tidak mewakili radio IKIMfm mahupun penyampai yang terlibat.
Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dengan kewujudan akaun palsu ini dan digalakkan membuat laporan polis sekiranya terkesan. Ini agar pihak yang tidak bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan.
IKIM akan terus memantau perkara ini dan mengambil langkah sewajarnya demi menjaga nama baik organisasi serta semua pihak yang terlibat.
Sekian, terima kasih.
Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
12 SEPTEMBER 2025 bersamaan 19 RABIULAWAL 1447 HIJRAH
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
Name: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail
Tel: 016-219 5345
E-mel: nikhasnah@ikim.gov.my
Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-4026 6200
E-mel: jie@ikim.gov.my
--BERNAMA