ASEAN SEPAKAT DAN KOMITED UNTUK MEMASTIKAN KESELAMATAN SERANTAU TERUS TERJAMIN MENERUSI MESYUARAT 19TH ASEAN MINISTERIAL MEETING ON TRANSNATIONAL CRIME (AMMTC) AND ITS RELATED MEETINGS

Released on: Thursday, 11 Sep 2025 6:10PM

MELAKA, 11 Sept (Bernama) -- Siri rundingan bersama dengan Rakan Dialog yang berlangsung pada hari terakhir mesyuarat 19th ASEAN Ministerial Meeting on Transnational Crime (19th AMMTC) di Melaka menutup tirai mesyuarat dengan penegasan komitmen ASEAN untuk memperkukuh kerjasama keselamatan serantau.

Dalam 15th AMMTC + 3 Consultation yang dipengerusikan oleh Malaysia bersama dengan China, Jepun dan Republik Korea, fokus khusus diberikan kepada ancaman jenayah siber dan penipuan dalam talian. Isu pengurusan sempadan dan imigresen turut menjadi agenda utama, dengan penekanan kepada keperluan untuk memperluas kerjasama praktikal di lapangan.

Mesyuarat 12th AMMTC + China Consultation yang dipengerusikan bersama Malaysia dengan China pula mengangkat kepentingan pelaksanaan penuh SOMTC + China Work Plan (2024–2028). Mesyuarat ini dipengerusikan secara bersama oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri dan TYT Wang Zhizhong, Vice Minister of Public Security dan Commissioner of National Immigration Administration, Republik Rakyat China.

Pada masa sama, 10th AMMTC + Japan Consultation meneguhkan komitmen ASEAN dan Jepun melalui SOMTC + Japan Work Plan on Cooperation to Combat Transnational Crime (2023–2027). Mesyuarat ini dipengerusikan secara bersama oleh TYT Goh Pei Ming, Minister of State for the Ministry for Home Affairs Singapore, dan TYT Manabu Sakai, Chairman of the National Public Safety Commission, Jepun.

Sementara itu, 6th AMMTC + ROK Consultation menyaksikan ASEAN dan Republik Korea menyambut baik penggubalan SOMTC + ROK Work Plan (2026–2028), yang sejajar dengan ASEAN-ROK Joint Vision Statement for Peace, Prosperity and Partnership. Mesyuarat ini dipengerusikan secara bersama oleh Pol.Maj.Gen.Voravat Amornvivat, Deputy Commissioner of Special Branch, Royal Thai Police, Thailand, dan TYT Jin Soo Lee, Vice Minister of Justice, Republik Korea.

Kesemua rundingan ini menekankan kepentingan untuk memperkukuh kerjasama penguatkuasaan undang-undang, meningkatkan pertukaran maklumat, membina kapasiti serantau dan bersedia menghadapi ancaman baharu yang lebih kompleks. Keempat-empat mesyuarat menghasilkan kenyataan bersama yang menggariskan haluan konkrit untuk memperkukuh kerjasama ASEAN–Rakan Dialog dalam pembanterasan jenayah rentas sempadan.

Secara keseluruhannya, ASEAN mencatatkan pencapaian penting apabila para Menteri dan Setiausaha Agung ASEAN yang bersidang dalam 19th AMMTC mencapai persetujuan untuk terus memperkasakan kerjasama keselamatan serantau. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Malaysia ini menyaksikan pengesahan ASEAN Plan of Action in Combatting Transnational Crime (2026–2035) iaitu dokumen yang akan menjadi panduan utama ASEAN bagi mendepani cabaran jenayah rentas sempadan sepanjang dekad mendatang. Pengesahan ini menandakan komitmen kolektif ASEAN untuk bergerak seiring dengan landskap ancaman yang semakin kompleks.

Selain itu, mesyuarat turut bersetuju menubuhkan Kumpulan Kerja SOMTC mengenai pengubahan wang haram sebagai wadah baharu untuk memperkukuh usaha serantau bagi menangani jenayah kewangan. Tidak kurang penting, ASEAN Border Management Cooperation Roadmap turut diluluskan bagi memperkemas kerjasama rentas sektor dalam urusan imigresen dan kawalan sempadan.

Beberapa deklarasi penting turut diumumkan, termasuk Melaka Declaration on Combatting Transnational Crime, serta deklarasi ASEAN bagi menangani penyeludupan manusia serta jenayah siber dan penipuan dalam talian. Para menteri juga memperakukan tiga ASEAN Leaders’ Declaration yang menekankan usaha untuk membanteras pengubahan wang haram, kerjasama penangkapan penjenayah buruan, dan inisiatif penggunaan sukan sebagai alat untuk membina ketahanan masyarakat terhadap ekstremisme. Ketiga-tiga ASEAN Leaders’ Declaration tersebut akan diangkat kepada peringkat Pemimpin sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober 2025 nanti.

Selain itu, mesyuarat juga bersetuju untuk melanjutkan ASEAN Plan of Action to Prevent and Counter the Rise of Radicalisation and Violent Extremism (2018–2025) dan Bali Work Plan (2019–2025) sehingga tahun 2026. Kedua-dua dokumen ini merupakan kerangka penting bagi usaha serantau bagi mencegah radikalisasi serta menyelaras tindakan rentas sektor dan rentas sempadan untuk menangani ancaman ekstremisme ganas di rantau ASEAN.

Dengan pencapaian ini, AMMTC bukan sahaja menilai pencapaian sedekad yang lepas, tetapi membuka bab baharu yang lebih komprehensif, membuktikan tekad rantau ini untuk terus berada di barisan hadapan dalam pembanterasan jenayah rentas sempadan yang semakin mencabar.

Penyerahan simbolik kepengerusian kepada Filipina, yang akan menerajui AMMTC pada tahun 2026 menjadi acara penutup tirai mesyuarat rasmi. Para menteri menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas penganjuran mesyuarat yang lancar dan berkesan, yang berlangsung dalam semangat perpaduan dan persaudaraan ASEAN.

KEMENTERIAN DALAM NEGERI
11 September 2025

SUMBER: Kementerian Dalam Negeri

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri
Tel: 03-88800806/0807/0812
Emel: mediaukom@moha.gov.my | pro@moha.gov.my  

--BERNAMA 
Back to Home