KERJASAMA KESELAMATAN SERANTAU TERUS DIPERKUKUH MENERUSI MESYUARAT 19TH ASEAN MINISTERIAL MEETING ON TRANSNATIONAL CRIME (AMMTC) AND ITS RELATED MEETINGS

Released on: Thursday, 11 Sep 2025 8:29AM

MELAKA, 11 Sept (Bernama) -- ASEAN hari ini mencatatkan pencapaian penting apabila para Menteri dan Setiausaha Agung ASEAN yang bersidang dalam 19th ASEAN Ministerial Meeting on Transnational Crime (19th AMMTC) di Melaka mencapai persetujuan untuk memperkukuh kerjasama keselamatan serantau lagi.
 
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Malaysia ini menyaksikan pengesahan ASEAN Plan of Action in Combatting Transnational Crime (2026–2035) iaitu dokumen yang akan menjadi panduan utama ASEAN bagi mendepani cabaran jenayah rentas sempadan sepanjang dekad mendatang. Pengesahan ini menandakan komitmen kolektif ASEAN untuk bergerak seiring dengan landskap ancaman yang semakin kompleks.
 
Selain itu, mesyuarat turut menerima pakai Kumpulan Kerja SOMTC mengenai pengubahan wang haram sebagai wadah baharu untuk memperkukuh usaha serantau bagi menangani jenayah kewangan. Tidak kurang penting, ASEAN Border Management Cooperation Roadmap turut diluluskan bagi memperkemas kerjasama rentas sektor dalam urusan imigresen dan kawalan sempadan.

Beberapa deklarasi penting turut diumumkan, termasuk Melaka Declaration on Combatting Transnational Crime, serta deklarasi ASEAN bagi menangani penyeludupan manusia serta jenayah siber dan penipuan dalam talian. Para menteri juga memperakukan tiga ASEAN Leaders’ Declaration yang menekankan usaha untuk membanteras pengubahan wang haram, kerjasama penangkapan penjenayah buruan, dan inisiatif penggunaan sukan sebagai alat untuk membina ketahanan masyarakat terhadap ekstremisme ganas.

Selain itu, mesyuarat juga bersetuju untuk melanjutkan ASEAN Plan of Action to Prevent and Counter the Rise of Radicalisation and Violent Extremism (2018–2025) dan Bali Work Plan (2019–2025) sehingga tahun 2026. Kedua-dua dokumen ini merupakan kerangka penting bagi usaha serantau bagi mencegah radikalisasi serta menyelaras tindakan rentas sektor dan rentas sempadan untuk menangani ancaman ekstremisme ganas di rantau ASEAN.
 
Mesyuarat ini juga telah mendengar perkongsian daripada United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC), ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) dan META yang membentangkan pandangan serta perkongsian berhubung dengan cabaran dan peluang kerjasama bagi memerangi jenayah rentas sempadan, termasuk aspek perundangan, kerjasama serantau dan cabaran teknologi digital.
 
Dengan pencapaian ini, AMMTC bukan sahaja menilai pencapaian sedekad yang lepas, tetapi membuka bab baharu yang lebih komprehensif, membuktikan tekad rantau ini untuk terus berada di barisan hadapan dalam pembanterasan jenayah rentas sempadan yang semakin mencabar.

KEMENTERIAN DALAM NEGERI
10 September 2025
 
SUMBER: Kementerian Dalam Negeri (KDN)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri
mediaukom@moha.gov.my | pro@moha.gov.my
Tel: 03-88800806/0807/0812
 
--BERNAMA
Back to Home