Seorang tetamu di pameran tetap itu menghormati Harimau Terbang di Muzium Tentera Liuzhou di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di China selatan.
NANNING, China, 9 Sept., 2025 /Xinhua-AsiaNet/--
Satu pameran tetap yang memberi penghormatan kepada Harimau Terbang -- juruterbang sukarelawan Amerika yang berjuang bersama-sama dengan tentera China dalam menentang penceroboh Jepun semasa Perang Dunia II – telah dibuka pada Ahad di Liuzhou di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di China selatan.
Ditempatkan di Muzium Tentera Liuzhou, pameran itu menghimpunkan lebih daripada 1,000 artifak -- daripada pakaian penerbangan dan tampalan lengan kepada surat dan diari, yang kebanyakannya telah disumbangkan oleh orang ramai di China dan di Amerika Syarikat.
Liuzhou merupakan sebuah hab pengangkutan utama dan kubu kuat tentera di China selatan semasa perang itu. Pada tahun 1942, Harimau Terbang itu telah datang ke bandar raya berkenaan dan telah ditempatkan di sebuah lapangan terbang tempatan. Dari situ, juruterbang Amerika melancarkan misi menentang penceroboh Jepun, dengan meninggalkan tapak-tapak bersejarah, imej dan kisah-kisah mengenai penduduk tempatan yang mempertaruhkan nyawa mereka untuk menyelamatkan tentera udara yang terhempas jatuh.
Dengan menggambarkan sejarah itu sebagai satu “kisah persahabatan yang luar biasa dan pengorbanan bersama sebagai terasnya,” Jeffrey Greene, pengerusi bagi Yayasan Warisan Penerbangan China-Amerika, berkata pada majlis perasmian itu bahawa rakyat China dan Amerika Syarikat telah membina satu hubungan yang luar biasa semasa detik paling gelap pada Perang Dunia Kedua.
"Sejarah ini telah menjadi lebih daripada sebuah jambatan di antara dua buah negara. Ia merupakan suatu testimoni abadi tentang kuasa perpaduan," kata Greene.
Pada majlis itu juga, Yang Wanming, presiden bagi Persatuan Rakyat China untuk Persahabatan dengan Negara Asing, menyatakan bahawa lebih 80 tahun lalu, China dan Amerika Syarikat memilih untuk berjuang bersama demi keadilan dan keamanan.
"Sejarah ini menunjukkan bahawa rakyat dari negara-negara yang berbeza boleh mengatasi perbezaan mereka dan bersatu dalam menghadapi cabaran bersama," kata Yang sambil menambah bahawa generasi muda dari kedua-dua buah negara akan meneruskan semangat Harimau Terbang itu.
Pameran itu akan dibuka kepada orang ramai secara percuma untuk jangka masa panjang, dengan menampilkan lima bahagian yang bertema yang mempersembahkan kisah-kisah bagaimana juruterbang Amerika berjuang bersama-sama dengan askar dan orang awam China semasa perang itu.
Sumber: Muzium Tentera Liuzhou
Kapsyen: Seorang tetamu di pameran tetap itu menghormati Harimau Terbang di Muzium Tentera Liuzhou di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di China selatan.
--BERNAMA