MELAKA, 8 Sept (Bernama) -- Bandar bersejarah Melaka menjadi tumpuan rantau ini apabila menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan ASEAN yang bertanggungjawab dalam keselamatan dan pembanterasan jenayah rentas sempadan berkumpul mulai 8 hingga 12 September 2025 bagi menghadiri 19th ASEAN Ministerial Meeting on Transnational Crime (AMMTC) And Its Related Meetings.
YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri telah menghadiri raptai dan lawatan tapak ke lokasi penganjuran mesyuarat 19th ASEAN Ministerial Meeting on Transnational Crime (AMMTC) dan Mesyuaratmesyuarat Berkaitan yang akan berlangsung pada 8 hingga 12 September 2025.
Sesi ini bertujuan untuk memastikan segala aspek persediaan, termasuk logistik, keselamatan, penginapan, penyediaan bilik mesyuarat, kemudahan pusat media dan lokasi program sampingan berada dalam keadaan terbaik sebelum ketibaan para delegasi dari negara-negara ASEAN, Timor-Leste, rakan dialog serta Sekretariat ASEAN.
Lawatan tapak ini bertujuan bagi meninjau secara menyeluruh persediaan bagi penganjuran mesyuarat termasuk DoubleTree by Hilton Melaka yang menjadi lokasi rasmi mesyuarat, dewan majlis pembukaan dan sesi plenari, bilik urus setia, bilik delegasi, bilik mesyuarat bilateral, dan pusat media di samping Encore Melaka yang akan menjadi lokasi rasmi Majlis Makan Malam Gala.
Antara yang dipamerkan adalah reruai Body Worn Camera, Volunteer Smartphone Patrol (VSP), dan pameran aset terkini Polis Diraja Malaysia. Turut dipamerkan adalah evolusi MyKAD oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan produk elit myPride dari Jabatan Penjara Malaysia. Pameran ini memperlihatkan komitmen agensi penguatkuasaan dalam mengintegrasikan teknologi moden untuk meningkatkan aspek keselamatan.
Selain itu, sesi ini juga mencerminkan komitmen tinggi kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Dalam Negeri, bagi memastikan penganjuran AMMTC kali ke-19 bukan sahaja berjalan lancar dari segi teknikal dan pengurusan, malah dapat menonjolkan imej negara sebagai tuan rumah yang bersedia, berwibawa dan berprestij pada peringkat antarabangsa.
Turut hadir, YBhg. Datuk Awang Alik bin Jeman, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), YBhg. Dato’ Hj. Abdul Halim bin Hj. Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, YBhg. Datuk Haji Makhzan bin Mahyuddin, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN dan pengurusan tertinggi KDN.
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
8 September 2025
SUMBER: Kementerian Dalam Negeri
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri
E-mel: mediaukom@moha.gov.my | pro@moha.gov.my
Tel: 03-88800806/0807/0812
--BERNAMA