- PTV 3.0 boleh ditebus oleh dua juta penerima STR yang layak bermula 1 September 2025. KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Program Baucar Perlindungan Tenang (Program PTV 3.0), satu inisiatif Kerjasama awam-swasta antara Kerajaan Malaysia dengan industri insurans dan takaful, kini memasuki fasa ketiga dengan pelancaran Program PTV 3.0 bermula 1 September 2025. Di bawah Belanjawan 2025, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM30 untuk menampung sebahagian kos pembelian produk insurans/takaful Perlindungan Tenang yang menawarkan perlindungan terhadap risiko utama dalam kehidupan seperti kematian, kemalangan dan musibah lain. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada strategi Kerajaan untuk memperkukuh perlindungan sosial dengan memupuk tingkah laku pengurusan risiko secara proaktif di kalangan isi rumah berpendapatan rendah serta menggalakkan keterangkuman kewangan.
Bermula 1 September 2025, penerima STR boleh menyemak kelayakan baucar RM30 mereka melalui portal PTV di
www.myptv.my . Penerima STR yang layak boleh:
i. Melayari
www.mycoverage.my untuk mengetahui ciri-ciri dan manfaat produk insurans/takaful Perlindungan Tenang 3.0 (produk PTV 3.0) yang ditawarkan oleh syarikat insurans dan pengendali takaful yang mengambil bahagian;
ii. Mengunjungi mana-mana cawangan syarikat insurans, pengendali takaful atau ejen/distributor Perlindungan Tenang yang sah untuk menyemak kelayakan dan menebus baucar bagi produk PTV 3.0.
Ciri-Ciri Produk PTV 3.0 Di bawah Program PTV 3.0, penerima STR yang layak boleh membeli/menyertai produk Perlindungan Tenang daripada syarikat insurans dan pengendali takaful yang menyertai program ini dengan menggunakan bantuan kewangan RM30 daripada Kerajaan. Baki premium atau sumbangan sekurang-kurangnya RM20 akan ditanggung oleh penerima STR sendiri.
Reka bentuk Program PTV 3.0 mengambil kira pengalaman daripada dua fasa terdahulu dan bertujuan menggalakkan penerima STR membuat keputusan lebih aktif dalam membeli/menyertai produk perlindungan yang bersesuaian dengan keperluan mereka. Melalui inisiatif ini, penerima STR akan lebih memahami ciri, manfaat, proses pembelian dan tuntutan produk dengan hanya membayar jumlah minima, sambil terus mendapat sokongan kewangan daripada Kerajaan. Dalam jangka panjang, pengetahuan ini diharap dapat meningkatkan daya tahan kewangan isi rumah terhadap kejutan kewangan yang tidak dijangka.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Encik Mohd Radzuan Mohamed, berkata “Program PTV3.0 bukan sahaja menggalakkan keterangkuman kewangan, tetapi juga memberi peluang penting kepada penerima STR untuk memulakan langkah pertama ke arah perancangan kewangan dan perlindungan keluarga mereka. Kolaborasi besar ini mencerminkan komitmen bersama Kerajaan dan industri takaful serta insurans dalam memperluaskan perlindungan sosial dan menyokong agenda pembangunan inklusif negara.”
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LIAM, Mark O’Dell berkata: “Melalui Program PTV 3.0, lebih banyak keluarga kini berpeluang mendapatkan perlindungan mampu milik dan mengukuhkan keselamatan kewangan mereka. Program ini juga membantu meningkatkan kesedaran tentang nilai insurans sebagai jaringan keselamatan jangka panjang untuk melindungi keluarga daripada cabaran hidup yang tidak dijangka. Industri kami berbangga berdiri seiring dengan Kerajaan dalam memastikan golongan yang berpendapatan rendah menerima perlindungan yang sewajarnya”
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Encik Chua Kim Soon, turut menambah: “Penyedia insurans am berbangga dapat memainkan peranan dalam memperluaskan perlindungan mampu milik melalui produk insurans kemalangan diri kepada komuniti yang paling memerlukan perlindungan. Ini penting khususnya bagi pekerja e-hailing, p-hailing, pekerja gig, peniaga kecil F&B, petani dan penjaga yang memerlukan perlindungan kewangan untuk kelangsungan hidup mereka. Dengan meliputi kumpulan ini, program ini bukan sahaja membantu penerima STR melindungi diri daripada risiko harian tetapi juga mengukuhkan daya tahan kewangan isi rumah.”
Program PTV 3.0 dijangka menyumbang ke arah aspirasi Malaysia untuk meningkatkan kadar penembusan insurans dan takaful serta memperkukuh ketahanan isi rumah di seluruh negara.
Maklumat lanjut, sila rujuk
Soalan- soalan Lazim atau boleh diperoleh melalui laman web
www.myptv.my atau
www.mycoverage.my. Program PTV 3.0 disokong oleh Malaysian Reinsurance Berhad, Insurance Services Malaysia Berhad (ISM), Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).
Tentang Perlindungan TenangInisiatif Perlindungan Tenang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2017 bagi membangunkan produk insurans dan takaful yang memenuhi keperluan segmen berpendapatan rendah. Produk ini memberikan perlindungan asas terhadap risiko utama seperti kematian, kemalangan dan musibah lain.
Untuk melayakkan diri di bawah inisiatif ini, produk Perlindungan Tenang mesti memenuhi kriteria berikut: mampu milik, mudah diakses, nilai perlindungan yang baik, mudah difahami, proses pembelian yang ringkas dan proses tuntutan yang mudah.
Semua produk Perlindungan Tenang boleh dikenal pasti dengan logo khas Perlindungan Tenang bagi membezakannya daripada produk insurans atau takaful lain.
Dikeluarkan oleh: LIAM, MTA AND PIAM SUMBER: Malaysian Takaful Association (MTA)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
LIAM
Nama: Puan Norizan Hassan
Head of Corporate Communications
Life Insurance Association of Malaysia
Tel: 603-2691 6168 / 6628 / 8068
Emel: liaminfo@liam.org.my
Website: www.liam.org.my
Facebook: LIAM – Life Insurance Association of Malaysia
Instagram: @liamalaysia
MTA
Nama: Puan Siti Nor Kamariah Ishak
Head, Corporate Communications
Tel: 012 772 0025
Fax: +603-2031 8170
Emel: mtasecretariat@malaysiantakaful.com.my
PIAM
Nama: Ms. Susanna G. Simon
Manager, Communications
Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM)
Tel: 03-2274 7399
Fax: 03-2274 5910
Emel: susanna.simon@piam.org.my
Website: www.piam.org.my
--BERNAMA