KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) hari ini mengumumkan peningkatan sebanyak 8 peratus dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM783.0 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 (1H TK2025), berbanding RM722.9 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas. Pencapaian ini disokong oleh kecemerlangan operasi dan komersial Syarikat di samping perbelanjaan yang lebih rendah, meskipun berdepan keadaan pasaran yang mencabar serta harga yang lebih rendah,
Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025, PDB mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM373.8 juta untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (S2 TK2025), menandakan penurunan 6 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu (S2 TK2024) berikutan margin yang lebih lemah.
Meski berdepan tekanan luaran, volum jualan keseluruhan kekal stabil, disokong oleh permintaan kukuh dalam segmen Komersial, khususnya bahan api penerbangan dan Diesel. Keputusan ini mengimbangi prestasi segmen Runcit yang lebih perlahan berikutan penurunan volum seiring dengan normalisasi perjalanan dan perbelanjaan pengguna yang lebih berhati-hati.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dagangan Azrul Osman Rani berkata, “Menempuh suku ini menuntut kami untuk kekal berdisiplin dan berstrategi dengan memberi fokus terhadap bagaimana setiap segmen memberi nilai. Segmen Komersial kekal kukuh dengan memenuhi permintaan secara konsisten, manakala segmen Runcit dibangunkan untuk jangka panjang melalui pelaburan terpilih, pengukuhan kesetiaan pelanggan dan pengalaman pelanggan yang berbeza. Matlamat kami adalah membina perniagaan yang berjaya hari ini dan bersedia untuk masa hadapan.”
Melangkah ke hadapan, PDB mengakui bahawa dinamik perdagangan yang berubah serta ketegangan geopolitik akan terus membentuk prospek global. Di dalam negara, ekonomi Malaysia dijangka kekal stabil, didukung oleh permintaan sihat dan dasar yang berkesan. Dalam landskap ini, PDB akan terus memantau dinamik pasaran dengan teliti dan melaksanakan strategi yang disasarkan, sambil kekal berwaspada terhadap kos serta ketidaktentuan.
Azrul menambah, "Fokus kami adalah untuk membina perniagaan yang mendapat tempatnya dengan pelanggan setiap hari. Ini bermakna membuat pilihan yang bijak, sentiasa menyesuaikan diri dan memastikan pertumbuhan kami memberikan nilai yang berkekalan, dengan cara yang menjadikan kehidupan lebih mudah dan lebih bermanfaat untuk pelanggan kami."
PDB telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 22 sen sesaham biasa bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025.
MENGENAI PETRONAS DAGANGAN BERHAD
PETRONAS Dagangan Berhad ialah cabang pemasaran domestik utama Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), yang memegang 63.94 peratus ekuitinya. Ditubuhkan di Malaysia pada 5 Ogos 1982 dan disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada 8 Mac 1994, PDB kini telah mengukuhkan kedudukannya sebagai peruncit dan pemasar utama produk hiliran minyak dan gas di negara ini.
Syarikat memasarkan pelbagai produk petroleum berkualiti tinggi termasuk gasolin motor, bahan api penerbangan, diesel, kerosin, minyak bahan api, bahan api bunker, pelincir, gas asli cecair (LNG), gas petroleum cecair (LPG) dan bitumen.
Selaras dengan strateginya untuk berkembang melangkaui perniagaan bahan api, Syarikat telah menubuhkan Mesra Retail & Café Sdn Bhd pada 2021 untuk menerajui perniagaan makanan dan minuman (F&B), serta memperluas jejak runcitnya dengan PETRONAS Shop yang menawarkan barangan dan cenderamata eksklusif berjenama PETRONAS.
Platform digital milik PDB, Setel, menyokong ekosistem ini dengan memacu kemudahan, kecekapan dan pengalaman pelanggan hujung-ke-hujung yang lancar. Keupayaan digital ini meletakkan PDB pada kedudukan yang lebih kukuh untuk meningkatkan hubungan pelanggan dan menambah nilai di luar jualan bahan api.
Sejak 2015, PDB telah diperakui sebagai syarikat konstituen dalam FTSE4Good Index Series yang membuktikan komitmen syarikat terhadap amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang kukuh, diukur berasaskan piawaian global yang diiktiraf.
Dikeluarkan oleh
Komunikasi Korporat
PETRONAS Dagangan Berhad
SUMBER: PETRONAS Dagangan Berhad (PDB)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Myra Liyana Razali
Tel: 03 – 2392 7252 | 012 – 689 0188
Emel: myraliyana.razali@petronas.com.my
Nama:Shazni Ong
Tel: 03 – 2392 2295 | 019 – 384 9891
Emel: mshazniong.mmudzami@petronas.com.my
--BERNAMA