SEREMBAN, 25 Ogos (Bernama) -- Usaha Kerajaan Negeri Sembilan mengurangkan kerenah birokrasi kini semakin dirasai rakyat dan peniaga.
Sebanyak 9 projek reformasi yang telah dilaksanakan memberi kesan limpahan ekonomi bernilai RM20 bilion kepada rakyat dan peniaga. Hasil daripada pelaksanaan ini, Negeri Sembilan diunjur mencatat pertumbuhan produktiviti sehingga 5% setahun, di samping membuka lebih 10,000 peluang pekerjaan baharu di pelbagai sektor.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menegaskan bahawa reformasi bukan sekadar mempercepatkan proses, tetapi turut melahirkan budaya kerja baharu dalam perkhidmatan awam.
“RKB memperkukuh DNA perkhidmatan awam dengan mewujudkan pengalaman positif kepada rakyat dan peniaga sebagai pelanggan, mengurus risiko dengan lebih baik, hingga menggunakan data secara bijak. Inilah semangat baharu perkhidmatan awam yang menyeluruh dan mesra rakyat,” katanya.
Kerajaan Negeri menegaskan bahawa usaha ini hanyalah permulaan. Tumpuan seterusnya ialah memperluas penggunaan digital dan AI dalam semua perkhidmatan kerajaan, supaya rakyat dan peniaga terus menikmati prosedur penyampaian perkhidmatan yang lebih cepat, kos pematuhan yang rendah, dan pelaksanaan yang telus.
Ketua Pengarah MPC, Datuk Zahid bin Ismail turut menyatakan bahawa ”Pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi secara berterusan di Negeri Sembilan dapat mengangkat produktiviti negeri dan menjadi penanda aras bagi negeri lain dalam memperkasa komuniti dan daya saing negeri secara inklusif.”
Amalan baik dan model pelaksanaan projek RKB di Negeri Sembilan wajar diteladani oleh negeri‑negeri lain. Disiplin pelaksanaan, ukuran yang jelas dan akauntabiliti konsisten menjadi prasyarat bagi memastikan keberhasilan berterusan.
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama.
SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nik Haneez Amizan Nik Rosdi
Tel: 019- 7181804
E-mel: nikhaneez@mpc.gov.my
--BERNAMA