PEMAKLUMAN PRODUK TRADISIONAL BERDAFTAR MENGANDUNGI PARAS MERKURI MELEBIHI HAD DIBENARKAN

Released on: Monday, 18 Aug 2025 9:20AM


PUTRAJAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan dan menasihati orang awam supaya tidak membeli atau menggunakan produk tradisional berdaftar berikut kerana dikesan mengandungi paras merkuri melebihi had yang dibenarkan. 
 
Nama ProdukChang-Sze-Long Badu Gao
No. PendaftaranMAL13095093T
IndikasiDigunakan     secara     tradisional     untuk     melegakan
bengkak dan kesakitan ringan
Deskripsi ProdukTampalan (Patch) – untuk kegunaan luar sahaja
 
Produk ini telah dipanggil balik dari pasaran manakala pendaftaran produk tersebut telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual atau diedarkan di Malaysia.
 
MAKLUMAT BERKENAAN MERKURI SEBAGAI BAHAN RACUN BERJADUAL
 
Paras merkuri seperti yang telah ditetapkan di bawah Akta Racun 1952 dan Garis Panduan Pendaftaran Produk (Drug Registration Guidance Document, DRGD), NPRA ialah tidak melebihi spesifikasi 0.5mg/kg atau 0.5ppm. Penyerapan merkuri pada paras yang tinggi boleh mengakibatkan:
i) Kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf;
ii) Gangguan terhadap perkembangan otak kanak-kanak, termasuk yang belum dilahirkan (janin); dan
iii) Masalah pada kulit seperti ruam, iritasi dan perubahan pada kulit.

PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR
 
Penjual dan pengedar produk ini dikehendaki menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta. Tindakan menjual atau mengedarkan produk ini adalah satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Sekiranya disabit kesalahan:
i) Individu boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya; dan
ii) Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
 
PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM
 
Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan supaya menghentikan penggunaannya dengan serta merta. Sekiranya mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers, sila dapatkan nasihat atau rawatan daripada ahli profesional kesihatan.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai penjualan produk ini diminta untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi KKM agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

Dikeluarkan oleh:
Bahagian Regulatori Farmasi Negara
 
Melalui:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia 


LAMPIRAN

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: TIMOTHY PALAVADRAM
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Pengurusan Respon Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia

E-mel: timothy.palavadram@moh.gov.my 

 
--BERNAMA
Back to Home