[Dari kiri ke kanan] Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu; Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu; Dato’ Adissadikin bin Ali, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, RHB Islamic Bank Berhad; KDYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu; dan Encik Mohd Najman bin Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pegawai Pelaburan RHB Islamic International Asset Management Berhad di Majlis Peluncuran Wakaf Kelestarian Alam: Konservasi Penyu Terengganu dan RHB Sukuk Dana Hafeez.
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, berkenan menyempurnakan Majlis Peluncuran
Wakaf Kelestarian Alam: Konservasi Penyu Terengganu dan
RHB Sukuk Dana Hafeez yang berlangsung di Hotel The Westin, Kuala Lumpur pada 4 Ogos 2025. Majlis ini turut menyaksikan pertukaran Perjanjian Persefahaman (MoA) antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic), sebagai simbolik kerjasama strategik dalam pelaksanaan
Wakaf Kelestarian Alam: Konservasi Penyu Terengganu.
Sebagai langkah permulaan yang signifikan, RHB Islamic International Asset Management Berhad (RHBIIAM) memperkenalkan
RHB Sukuk Dana Hafeez, sebuah instrumen pelaburan patuh Syariah yang mana pulangan daripada dana tersebut akan disalurkan sepenuhnya kepada Tabung Wakaf Pendidikan dan Kebajikan UMT. Ini bagi menyokong inisiatif
Kelestarian Alam: Konservasi Penyu Terengganu. Melalui pendekatan ini, RHB Islamic dengan kerjasama RHBIIAM tampil sebagai rakan korporat utama yang berganding bahu bersama UMT dalam pelaburan dana mampan bagi pendidikan dan konservasi alam sekitar.
Kerjasama strategik ini menggabungkan kepakaran UMT dalam penyelidikan dan pemuliharaan penyu, menerusi Sea Turtle Research Unit (SEATRU) dan Stesen Penyelidikan Alami Penyu di Chagar Hutang, Pulau Redang, dengan pengalaman RHB Islamic dan RHBIIAM dalam pembangunan instrumen kewangan patuh Syariah serta pengurusan dana berimpak sosial tinggi.
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dalam ucapan aluannya, menegaskan bahawa inisiatif strategik ini membawa tiga objektif utama iaitu:
- Menginstitusikan wakaf tunai sebagai alat pembangunan lestari menurut prinsip ekonomi Islam;
- Menjamin sokongan berterusan kepada penyelidikan dan pendidikan dalam pemuliharaan alam sekitar; dan
- Meningkatkan kesedaran komuniti, khususnya generasi muda, tentang tanggungjawab menjaga biodiversiti.
Program
Wakaf Kelestarian Alam: Konservasi Penyu Terengganu adalah model wakaf pertama di Malaysia yang memberi tumpuan kepada pemeliharaan hidupan laut. Ia diharap menjadi penanda aras baharu bagi pendekatan wakaf dalam usaha pemuliharaan alam sekitar, selaras dengan ajaran Islam yang menuntut pemeliharaan alam sebagai satu amanah.
Pengarah Urusan RHB Islamic, Dato’ Adissadikin Ali, berkata, “Peluncuran
RHB Sukuk Dana Hafeez memperkukuh peranan kewangan Islam dalam pembangunan lestari dan pemeliharaan alam sekitar. Ia mencerminkan usaha kami dalam menggerakkan instrumen patuh Syariah secara strategik demi memberi impak bermakna kepada alam sekitar dan masyarakat.”
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Pelaburan RHBIIAM, Mohd Najman Md Isa, turut berkata, “
RHB Sukuk Dana Hafeez merupakan dana pelaburan sukuk di mana 100% daripada keuntungan yang dijana akan disalurkan ke Tabung Wakaf Pendidikan dan Kebajikan UMT, dengan matlamat menyokong kelestarian jangka panjang
Wakaf Kelestarian Alam: Konservasi Penyu Terengganu. Inisiatif ini mencerminkan amalan kemampanan RHBIIAM, khususnya berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) ke-14 – Kehidupan di Bawah Air.”
Gabungan antara institusi agama, institusi pengajian tinggi dan sektor korporat ini mencerminkan komitmen bersama RHB Islamic, RHBIIAM dan UMT dalam memperkasa potensi besar wakaf untuk membentuk masa depan yang lestari bagi manusia dan alam sekitar, selaras dengan prinsip ESG serta Matlamat Pembangunan Mampan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).
SUMBER: RHB Islamic Bank Berhad
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Joanne Lim
Senior Corporate Communications & Media Relations Manager
RHB Banking Group
E-mel: joanne.lim@rhbgroup.com
Tel: 012 304 7604
--BERNAMA