PELAKSANAAN INISIATIF PEMAPARAN HARGA UBAT DITERUSKAN

Released on: Monday, 04 Aug 2025 9:28AM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Sebagaimana semua pihak sedia maklum, pelaksanaan inisiatif pemaparan harga ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti telah bermula pada 1 Mei 2025 menerusi Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 [P.U.(A) 141/2025] di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723]. Pelaksanaan inisiatif ini merupakan kerjasama strategik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pendekatan penguatkuasaan pendidikan telah dilaksanakan bagi tempoh 3 bulan pertama, yang berakhir pada 31 Julai 2025. Sepanjang tempoh tersebut, 842 buah fasiliti terdiri daripada klinik perubatan, klinik pergigian dan hospital swasta serta farmasi komuniti, telah diperiksa dan majoritinya telah melaksanakan inisiatif ini, dengan 57% daripadanya mematuhi keperluan pemaparan harga ubat yang memuaskan.

Sehubungan itu, bermula pada 1 Ogos 2025, penguatkuasaan Perintah P.U.(A) 141/2025 akan diteruskan secara berperingkat seperti yang berikut:

(i) Penguatkuasaan pendidikan diteruskan melalui lawatan pemeriksaan dan advokasi bagi tempoh 2 bulan sehingga 30 September 2025. Surat peringatan boleh dikeluarkan jika berlaku ketidakpatuhan.

(ii) Mulai 1 Oktober 2025, kompaun boleh dikeluarkan bagi kesalahan yang berulang.

(iii) Penguatkuasaan penuh mulai 1 Januari 2026.

KKM dan KPDN turut mengambil maklum mengenai laporan berhubung tindakan semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi oleh tujuh pertubuhan mewakili pengamal perubatan dan pergigian serta seorang pengamal perubatan swasta, berkaitan  keabsahan Perintah P.U.(A) 141/2025 tersebut. Namun begitu, sehingga kenyataan ini dikeluarkan, tiada perintah mahkamah yang mengarahkan penangguhan pelaksanaan atau penguatkuasaan Perintah P.U. (A) 141/2025. Justeru, Perintah P.U.(A) 141/2025 tersebut kekal sah dan berkuat kuasa.

KKM dan KPDN kekal komited untuk melaksanakan inisiatif ini secara inklusif, berfasa dan berhemah bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh pengguna serta menyumbang kepada peningkatan ketelusan, akauntabiliti dan kepercayaan dalam sistem  kesihatan negara.

Dikeluarkan oleh:
Kementerian Kesihatan Malaysia
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup

Melalui:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia

SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Timothy A/L Palavadram
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
E-Mel: timothy.palavadram@moh.gov.my 

--BERNAMA
Back to Home