PELAKSANAAN AKTIVITI IMUNISASI TAMBAHAN MEASLES DAN RUBELLA BAGI KANAK-KANAK BERUMUR 6 HINGGA 59 BULAN DI SELURUH MALAYSIA

Released on: Monday, 04 Aug 2025 9:20AM

PUTRAJAYA, 4 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Aktiviti Imunisasi Tambahan Measles-Rubella (Measles-Rubella Supplementary Immunisation Activity, MR SIA) akan dilaksanakan mulai 4 Ogos 2025 hingga 12 Oktober 2025 di seluruh negara. Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuh program imunisasi sedia ada dengan meningkatkan dan memulihkan tahap imuniti kelompok atau herd immunity, serta menyokong matlamat negara ke arah penghapusan atau eliminasi Measles menjelang tahun 2030.

Sasaran imunisasi tambahan ini adalah kanak-kanak berumur 6 hingga 59 bulan, lahir antara 1 Ogos 2020 hingga 31 Januari 2025. Tujuan utama adalah untuk meningkatkan liputan imunisasi dan memberi perlindungan awal bagi mencegah penularan lebih meluas.

Measles dan Rubella merupakan penyakit yang sangat mudah berjangkit dan boleh menyebabkan komplikasi serius seperti jangkitan telinga, radang paru-paru (pneumonia), radang otak (ensefalitis), sawan, dan kematian. Walau bagaimanapun, kedua-dua penyakit ini boleh dicegah melalui pemberian vaksin MMR (Measles, Mumps, dan Rubella). Di bawah Program Imunisasi Kebangsaan, vaksin MMR diberikan pada usia 9 bulan dan 12 bulan. Bagi negeri Sabah, satu (1) dos tambahan vaksin Measles diberikan pada usia 6 bulan.

Secara keseluruhan, liputan imunisasi di Malaysia melebihi 95% setiap tahun,  termasuk pada tahun 2024. Namun begitu, hanya 62% daripada daerah mencapai liputan MMR melebihi 95% pada tahun tersebut (2024). Sasaran minimum 95% adalah penting untuk membentuk perlindungan kelompok dan mengawal penularan penyakit.

Statistik menunjukkan peningkatan hampir dua kali ganda kes Measles pada tahun 2024, dengan 3,791 kes berbanding 2,002 kes pada 2023. Jumlah wabak juga meningkat kepada 231 berbanding 112 pada tahun sebelumnya. 

Sebanyak 44.1 peratus kes melibatkan kanak-kanak bawah 5 tahun, manakala 28.9 peratus melibatkan bukan warganegara, di mana 84.3 peratus daripada mereka tidak pernah divaksin. Tiga (3) kematian turut dilaporkan pada tahun 2024, membabitkan kanak-kanak bukan warganegara berusia 8 bulan, 3 tahun, dan 17 tahun. Kesemua kes ini tidak pernah menerima vaksin Measles.

KKM menyeru ibu bapa dan penjaga agar segera membawa anak-anak yang layak untuk menerima dos tambahan vaksin Measles-Rubella (MR) secara percuma. Janji temu akan dihantar melalui aplikasi MySejahtera, atau boleh membuat janji temu sendiri melalui aplikasi tersebut. Anak-anak yang layak juga boleh dibawa secara walk-in ke klinik kesihatan kerajaan. Pasukan outreach KKM akan turut turun padang ke sekolah, pusat komuniti, dan kawasan terpencil bagi memastikan tiada yang tercicir. Ini adalah sejajar dengan nilai MADANI yang kita terapkan - Kesejahteraan dan Ihsan.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau klinik kesihatan berhampiran.

Dikeluarkan oleh:
Bahagian Kawalan Penyakit

Melalui
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia

SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Timothy A/L Palavadram
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
E-Mel: timothy.palavadram@moh.gov.my 

--BERNAMA
Back to Home