​Straits Orthopaedics Memperluaskan Jejak Global dengan Pengambilalihan Medin Technologies yang Berpangkalan di A.S., Mengukuhkan Portfolio Pembuatan Ortopedik

Released on: Wednesday, 30 Jul 2025 11:12AM


PENANG, Malaysia, 30 Julai (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Straits Orthopaedics (Mfg) Sdn Bhd (“Straits”), sebuah pengilang kontrak terkemuka yang berpangkalan di Malaysia dan pakar dalam pemesinan berketepatan tinggi bagi implan ortopedik dan instrumen pembedahan, hari ini mengumumkan kejayaan pengambilalihan Medin Technologies, Inc. (“Medin”), sebuah pengilang yang berpangkalan di A.S. bagi bekas dan dulang pensterilan untuk sektor ortopedik, yang mengendalikan dua fasiliti di Totowa, New Jersey, dan Manchester, New Hampshire.

Pengambilalihan strategik ini ialah langkah penting dalam trajektori pertumbuhan Straits, sekali gus mengukuhkan komitmennya untuk memperluaskan penawaran produk serta keupayaan pembuatan globalnya. Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam memenuhi permintaan pasaran ortopedik global, Straits kini berada pada kedudukan yang unik untuk menawarkan rangkaian penyelesaian yang lebih bersepadu dan menyeluruh kepada rakan kongsi OEM globalnya.

Hans de Waal, Pengurus Besar Medin, berkata, “Medin Technologies teruja untuk menjadi sebahagian daripada organisasi Straits Orthopaedics. Syarikat kami telah berada dalam pasaran ortopedik sejak tahun 1979 dan telah menjadi pemain utama dalam pasaran bekas dan dulang. Penyertaan bersama Straits membolehkan syarikat menawarkan penyelesaian merentasi pelbagai segmen sebagai sebuah CMO global yang mampu membekalkan set instrumen lengkap yang sedia untuk diedarkan.”

“Kami teruja untuk menambah rangkaian produk bekas dan dulang Medin kepada pelbagai keupayaan pembuatan kami,” kata Scott Gareiss, Ketua Pegawai Eksekutif Straits. “Medin diiktiraf atas kepakaran reka bentuknya, integrasi menegak, dan kawalan kualiti inovatif dalam pengeluaran bekas dan dulang yang digunakan dalam sistem penggantian sendi, trauma, anggota kecil, tulang belakang, peralatan berkuasa dan banyak lagi untuk peranti perubatan OEM. Gabungan antara Straits dan Medin akan membolehkan kami memberikan perkhidmatan yang lebih menyeluruh kepada pelanggan kami.”

Ewan Davis, Rakan Kongsi di Quadria Capital dan Pengarah Lembaga Straits Orthopaedics, menambah, “Penambahan Medin menunjukkan fokus berterusan kami dalam melabur dan memperluaskan skop perkhidmatan yang diberikan oleh Straits kepada pelanggan kami, serta secara tidak langsung meningkatkan impak terhadap pesakit di seluruh dunia. Gabungan kedua-dua perniagaan ini membentuk jejak global sebenar dan merupakan bukti kepada aspirasi serta keupayaan syarikat pengeluar kontrak ortopedik dari Malaysia yang unggul ini.”

Kirkland & Ellis dan PwC bertindak sebagai penasihat kepada Quadria dan Straits.

Maklumat Tentang Straits Orthopaedics
Ditubuhkan pada tahun 2003 oleh TH Su di Pulau Pinang, Straits Orthopaedics adalah pengeluar kontrak yang menghasilkan implan dan instrumen untuk pelanggan ortopedik OEM. Straits ialah penyedia bersepadu menegak bagi produk yang diproses dengan ketepatan tinggi, lengkap dengan rawatan permukaan, rawatan haba, dan pembungkusan steril secara dalaman. Sila lawati www.straitsortho.com.my untuk maklumat lanjut.

Maklumat Tentang Quadria Capital
Ditubuhkan pada tahun 2012, Quadria Capital ialah pelabur penjagaan kesihatan terkemuka di Asia yang menguruskan lebih daripada AS$4 bilion dalam aset yang merangkumi 27 pelaburan di Asia Selatan dan Asia Tenggara termasuk India, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Quadria Capital berhasrat untuk mencipta nilai pemegang saham yang signifikan dan lestari dengan bekerjasama dengan perniagaan penjagaan kesihatan yang unggul bagi meningkatkan impak dan skala mereka, di samping menjana pulangan yang luar biasa untuk pelabur.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.quadriacapital.com

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.

Galeri Multimedia/Foto Sedia Ada:
https://www.businesswire.com/news/home/20250724057473/en

Contacts

Hubungan Media:
Yvette Lim
Yvette.lim@fgsglobal.com

Sumber: Straits Orthopaedics

--BERNAMA
Back to Home