KENYATAAN MEDIA INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM) BERKAITAN PERDANA MENTERI BUKTIKAN KEPIMPINAN BERWIBAWA DI PERSADA DUNIA MELALUI PERJANJIAN GENCATAN SENJATA THAILAND-KEMBOJA

Released on: Wednesday, 30 Jul 2025 9:15AM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syukur kepada YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, atas kejayaan besar beliau menjadi pengantara dalam perjanjian gencatan senjata yang dimeterai antara Kerajaan Thailand dan Kemboja.

Perjanjian yang berkuat kuasa pada 29 Julai 2025 merupakan satu detik bersejarah bukan sahaja bagi kedua-dua negara yang terlibat, malah bagi rantau Asia Tenggara dan dunia. Ia memperlihatkan kejayaan diplomasi berteraskan kesabaran, hikmah dan ketegasan dalam menangani konflik, sekali gus membuktikan peranan Malaysia sebagai sebuah negara yang mendukung prinsip keamanan sejagat.

Sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, Malaysia memainkan peranan utama dalam menggalakkan penyelesaian damai dan rundingan diplomatik dalam kalangan negara-negara anggota. Kejayaan ini merupakan simbol kejayaan usaha berterusan Malaysia dalam memperkukuhkan perpaduan dan kestabilan serantau.

Kebijaksanaan Perdana Menteri dalam menyatukan dua pihak yang berkonflik adalah cerminan kepimpinan Islam yang menekankan keadilan, perdamaian dan kemuliaan insan. Kejayaan Malaysia mendamaikan dua pihak ini menunjukkan kepada dunia bahawa kuasa bukan hanya terletak pada ketenteraan, tetapi pada moral, akhlak dan ketelusan dalam mengurus konflik. Ini adalah prinsip yang sangat bertepatan dengan ajaran Islam.

IKIM menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menzahirkan rasa syukur atas pencapaian ini dan menghayati betapa pentingnya keamanan sebagai asas kepada pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan umat manusia. Dalam masa yang sama, IKIM juga komited untuk terus memainkan peranan dalam memperkukuhkan nilai-nilai Islam yang menganjurkan kedamaian, persefahaman dan penghormatan antara sesama manusia.

Sebagai institusi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang mempromosikan kefahaman Islam yang sebenar, IKIM percaya bahawa pencapaian ini boleh menjadi teladan kepada masyarakat antarabangsa tentang bagaimana pendekatan diplomasi berteraskan nilai dan etika mampu merungkai kekusutan yang berlarutan.

Sekian, terima kasih.

Prof Madya Dato' Dr Mohamed Azam bin Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

29 Julai 2025 bersamaan 04 Safar 1447H


SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
Nama: En. Johari bin Omar  
Tel: 019-238 0466
E-mel: johari@ikim.gov.my

Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-4026 6200
E-mel: jie@ikim.gov.my 

--BERNAMA

 
Back to Home