PUTRAJAYA, 29 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini telah membentangkan cadangan pindaan kepada Akta Racun 1952 [Akta 366] melalui Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat bagi memperluaskan kuasa penguatkuasaan kepada:
i. Semua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), tanpa mengira pangkat; dan
ii. Pegawai lain yang dilantik oleh Menteri Kesihatan, termasuk dari kementerian atau agensi lain sekiranya diperlukan.
Akta Racun 1952 merupakan undang-undang utama yang mengawal semua aspek berkaitan penggunaan, pemilikan dan pengedaran racun serta bahan psikotropik di Malaysia.
Cadangan pindaan ini bertujuan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan terhadap kesalahan penyalahgunaan racun dan bahan psikotropik, serta memastikan tindakan lebih pantas, menyeluruh dan responsif dapat diambil dalam menangani ancaman terhadap kesihatan awam dan keselamatan negara.
Di bawah peruntukan sedia ada, hanya tiga kategori pegawai diberi kuasa penguatkuasaan:
i. Pegawai Penguat Kuasa Dadah (ahli farmasi dalam perkhidmatan awam);
ii. Pegawai polis berpangkat Inspektor ke atas; dan
iii. Pegawai kanan Kastam.
Namun dalam amalan, tugas rondaan dan pemeriksaan lazimnya dilaksanakan oleh pegawai rendah PDRM seperti konstabel dan koperal, yang lebih ramai dan lebih kerap berada di lapangan. Oleh itu, perluasan kuasa kepada anggota PDRM tanpa mengira pangkat akan mempertingkatkan kecekapan serta capaian operasi penguatkuasaan.
Selain itu, terdapat kawasan yang tidak mempunyai kehadiran tetap pegawai berkuasa di bawah Akta ini. Bagi menutup jurang ini, RUU turut memperuntukkan kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk melantik pegawai lain, tertakluk kepada terma dan syarat, bagi membantu pelaksanaan penguatkuasaan apabila perlu.
Pindaan kepada Akta 366 ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), untuk menangani penyalahgunaan bahan terkawal melalui pendekatan penguatkuasaan yang lebih mantap, inklusif dan menyeluruh. Ia juga selari dengan aspirasi nilai MADANI yakni
Kemampanan dan
Kesejahteraan - demi melindungi kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.
Dikeluarkan oleh:
Kementerian Kesihatan Malaysia
Kementerian Dalam Negeri
SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Timothy Palavadram
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Emel: timothy.palavadram@moh.gov.my
--BERNAMA