KENYATAAN MEDIA INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM) BERKAITAN DEMONSTRASI AMAN DALAM KERANGKA PERLEMBAGAAN DAN BATAS ADAB ISLAM

Released on: Monday, 28 Jul 2025 5:08PM


KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengambil maklum akan penganjuran demonstrasi aman baru-baru ini oleh sekumpulan rakyat Malaysia yang menyuarakan kebimbangan terhadap isu-isu semasa negara.

IKIM ingin menegaskan bahawa hak untuk berhimpun secara aman adalah hak asasi yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa “setiap warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.” Maka, dari sudut Perlembagaan himpunan aman dalam rangka undang-undang bukan satu kesalahan.

Namun demikian, hak ini datang bersama amanah moral dan tanggungjawab adab yang perlu dijunjung oleh semua pihak, lebih-lebih lagi dalam masyarakat majmuk dan beragama seperti Malaysia. IKIM terpanggil untuk memberikan pandangan terhadap beberapa perkara yang berlaku dalam himpunan tersebut:

1. Amalan membaca Qunut Nazilah dalam perhimpunan yang menyasarkan Perdana Menteri adalah satu perbuatan yang mencemari kesucian dan tujuan sebenar ibadah dalam Islam. Doa merupakan ibadah agung yang mesti disampaikan dengan adab, hikmah dan keikhlasan, serta bebas daripada pengaruh emosi dan kepentingan politik. Islam sememangnya menggalakkan doa untuk kebaikan negara, tetapi bukan dengan cara merendahkan maruah seorang pemimpin Muslim yang memegang mandat sah di sisi undang-undang dan proses demokrasi.
2. Tindakan menyebarkan tuduhan berulang mengenai liwat terhadap Perdana Menteri adalah satu bentuk jenayah Qazaf yang dilarang keras dalam Islam, terutamanya apabila tuduhan itu dibuat tanpa bukti yang kukuh dengan kesaksian empat lelaki yang adil. Perbuatan menyebarkan fitnah ini bukan sekadar serangan peribadi yang menjatuhkan maruah seseorang, tetapi ia juga mencabuli prinsip keadilan yang dijunjung tinggi oleh Islam.
3. Tindakan mempamerkan patung simbolik yang menyerupai Perdana Menteri sedang dihukum sebat adalah satu bentuk penghinaan yang melampau dan jelas bertentangan dengan nilai kesopanan serta tatasusila masyarakat Malaysia. Perbuatan sedemikian bukan sahaja mencalar maruah peribadi individu yang disasarkan, tetapi juga melangkaui batas adab dan akhlak dalam menyuarakan perbezaan pendapat
 
IKIM menyeru umat Islam agar menyuarakan pandangan dengan adab dan akhlak, bukan dengan kebencian atau penghinaan. Marilah kita memperkukuh kefahaman agama, memelihara maruah sesama insan dan membina masyarakat beradab demi generasi yang beriman dan bertamadun.
 
Sekian, terima kasih.

Prof Madya Dato' Dr Mohamed Azam bin Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
 
28 Julai 2025 bersamaan 03 Safar 1447H
 
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
Nama: En. Johari bin Omar  
Tel: : 019-238 0466
E-mel: johari@ikim.gov.my

Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-4026 6200
E-mel: jie@ikim.gov.my 

--BERNAMA
Back to Home