SABAH MENUJU PRODUKTIVITI LEBIH TINGGI MELALUI PENYELARASAN PROSEDUR PEKERJA BUKAN PEMASTAUTIN

Released on: Monday, 28 Jul 2025 4:36PM


Table
Yang Berbahagia Datuk Hj. Ag. Shahminan Datuk Hj. Ag. Sahari, JP, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah (duduk, tengah) bersama Encik Edward Binty, Pengarah MPC Wilayah Sabah (duduk, kiri sekali) beserta para peserta Bengkel.
 

KOTA KINABALU, 28 Julai (Bernama) -- Bengkel Pemuktamadan Draf Garis Panduan dan Prosedur Permohonan Pas Kerja Ekspatriat (PKE), Pas Kerja Malaysia (PKM), dan Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) di Sabah telah melabuhkan tirainya dalam satu majlis penutupan rasmi yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Hj. Ag. Shahminan Datuk Hj. Ag. Sahari, JP, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah.
 
Bengkel yang berlangsung sebanyak lima sesi bermula dari 21 Mei 2025 sehingga 24 Julai 2025 ini merupakan inisiatif strategik antara Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sabah bersama Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP) serta penglibatan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi dari peringkat negeri dan persekutuan.
 
Menurut YBhg. Datuk Hj. Ag. Shahminan dalam ucapannya, “Keperluan pas-pas imigresen di Sabah ini adalah selaras dengan Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63, di mana, di Sabah kita menekankan kewajipan warga bukan berasal dari Sabah untuk memiliki pas-pas imigresen yang sesuai untuk berada di Sabah secara sah dan teratur.”
 
Tambah beliau lagi, “Dalam bidang pekerjaan, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 jelas memperuntukkan khususnya – “Pas Kerja untuk Sabah” – berdasarkan Peraturan 16, di mana suatu Pas Kerja boleh dikeluarkan untuk menjalankan kerja atau bekerja di Sabah dengan syarat, layak untuk bekerja atau untuk menjalankan kerja; masih tidak ada pengangguran di Sabah bagi orang-orang yang mempunyai kemahiran; dan pengambilan kerja tersebut atau pekerjaan akan memberi faedah pada amnya kepada Sabah.”
 
“Sehubungan dengan itu, bengkel ini merupakan manifestasi penting dalam mendukung agenda Malaysia MADANI serta hala tuju Sabah Maju Jaya melalui penambahbaikan prosedur pas kerja yang lebih mesra industri, cekap, dan sejajar dengan realiti semasa ekonomi negeri Sabah.”
 
Beliau menegaskan bahawa dasar dan prosedur yang terlalu sukar bukan sahaja mengekang potensi pelaburan, tetapi juga menjejaskan keyakinan pelabur dan keupayaan Sabah untuk bersaing di peringkat serantau.
 
“Penambahbaikan garis panduan ini amat penting bagi memastikan proses permohonan pas kerja menjadi lebih efisien, responsif dan tidak membebankan. Usaha ini mampu mengurangkan kos pematuhan sehingga 25% dan menyumbang kepada peningkatan produktiviti sebanyak 5% menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),” ujar beliau.
 
Sementara itu, En. Edward Binty, Pengarah MPC Wilayah Sabah, menyatakan bahawa MPC melihat projek ini sebagai satu inisiatif strategik yang mampu meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dan merangsang pertumbuhan produktiviti negeri secara mampan serta menggalakkan iklim pelaburan yang kondusif.
 
“Saya menzahirkan rasa bangga atas kerjasama padu yang diberikan oleh semua pihak. Produktiviti hari ini bukan lagi sekadar bekerja lebih keras, tetapi bekerja lebih bijak – melalui prosedur yang jelas, kolaborasi rentas agensi, dan dasar yang dinamik serta adaptif terhadap keperluan industri,” katanya.
 
Penutupan bengkel ini menyaksikan iltizam bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh kerjasama strategik ke arah menjadikan Sabah negeri yang inklusif, berdaya tahan dan terbuka kepada pertumbuhan ekonomi.
 
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. 
 
SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Lee Wan Swanee
Tel: 012-9630567
E-mel: swanee@mpc.gov.my  

--BERNAMA
Back to Home