TRANSFORMASI KONTRAK KERAJAAN: MENGIMBANGI "GANJARAN DAN REMEDI" MELALUI KAEDAH PBC

Released on: Monday, 28 Jul 2025 9:40AM

CYBERJAYA, 28 Julai (Bernama) -- Technology Depository Agency Berhad (TDA) terus memainkan peranannya sebagai pemangkin transformasi pengurusan kontrak Kerajaan dengan mengaplikasikan konsep ganjaran dan remedi melalui kaedah Kontrak Berasaskan Pencapaian Prestasi atau Performance-Based Contract (PBC).

Menurut kajian psikologi, tingkah laku manusia boleh dibentuk melalui ganjaran dan remedi yang berkesan dalam meningkatkan produktiviti dan komitmen. Bukan hanya kepada individu, konsep ini turut diaplikasikan dalam pelbagai bidang seperti perundangan dan pendidikan. Selain itu ianya boleh turut diaplikasikan secara strategik dalam pengurusan kontrak-kontrak Kerajaan bagi meningkatkan prestasi kontraktor serta membentuk sikap bertanggungjawab dan komited dalam menyampaikan perkhidmatan mereka.

Kaedah pelaksanaan PBC bagi kontrak Kerajaan digariskan di dalam Pekeliling Perbendaharaan PK1.8, Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) sejak Julai 2022. TDA, sebuah syarikat milik penuh MoF, dipertanggungjawabkan sebagai Pusat Rujukan dan perunding pembangunan kontrak PBC bagi perolehan kerajaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TDA, Dr. Sharoul Jambari, ”PBC merupakan kaedah kontrak yang memberi penekanan kepada keberhasilan (outcome-oriented) berbanding kontrak tradisional yang memberi penumpuan terhadap aktiviti dan proses.”

PBC meletakkan asas kepada hubungan rakan kongsi strategik dan situasi 'menang-menang' antara agensi Kerajaan dan kontraktor, manakala kombinasi ganjaran dan remedi yang seimbang merupakan pemangkin bagi mencapai matlamat ini.
 
Menurut Dr. Sharoul lagi, terdapat beberapa mekanisme ganjaran dalam PBC – samada berbentuk kewangan dan bukan kewangan. Antaranya ialah bayaran prestasi, insentif prestasi, pulangan balik (earn back), perlanjutan tempoh kontrak, perluasan skop kerja, serta penghargaan dan pengiktirafan kepada kontraktor.

Walaupun tidak semua mekanisme ganjaran tersebut dilaksanakan buat masa ini, TDA sedang giat mengadakan libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan, untuk mewujud dan mengitegrasikannya dengan sistem dan dasar perolehan sedia ada.

"Dengan pengalaman luas TDA membangunkan kontrak-kontrak PBC serta sokongan ekosistem perolehan yang semakin matang, kami optimis untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanan PBC melalui mekanisme ganjaran dan remedi yang lebih seimbang," ujar beliau.

Bagi merealisasikan perkara ini, TDA dan Bahagian Perolehan Kerajaan MoF buat julung kalinya akan menganjurkan Bengkel Pelaksana PBC Malaysia pada 21 Ogos 2025. Bengkel ini akan menghimpunkan pegawai-pegawai Kerajaan dari pelbagai Kementerian untuk berkongsi pengalaman serta maklum balas mereka dalam pelaksanaan PBC, demi menambahbaik pengurusan kontrak Kerajaan dan seterusnya memangkin pembangunan industri tempatan.
 
 
SUMBER: Technology Depository Agency Berhad (TDA) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Unit Komunikasi Korporat TDA
Nama: Saifoel Hafsham Hamzah
Head, Corporate Management Department
Tel: 019- 631 6057
E-mel:  saifoel@tda.my
 
Nama: Ain Razali
Pengurus, Unit Komunikasi Korporat
Tel: 019–720  4867
E-mel: ain@tda.my 

--BERNAMA
Back to Home