MALAYSIA TUAN RUMAH ACARA SAMPINGAN WHA78: KOMITMEN GLOBAL TERHADAP KESIHATAN MULUT DALAM AGENDA PENYAKIT TIDAK BERJANGKIT (NCD)

Released on: Tuesday, 20 May 2025 12:25PM

 
PUTRAJAYA, 20 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa Malaysia buat julung kalinya menjadi tuan rumah acara sampingan sempena dengan Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) kali ke-78 (WHA78) yang telah berlangsung pada 19 Mei 2025 di Geneva, Switzerland dan jam detik 1.00 pagi waktu Malaysia (20 Mei 2025). Acara ini yang bertajuk ‘Kiraan Detik Menuju Mesyuarat Tahap Tinggi Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu Mengenai Penyakit Tidak Berjangkit (NCD): Dari Bangkok Ke New York’ dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dengan tema “Memajukan Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) Untuk Kesihatan Mulut Menjelang 2030”.
 
Penganjuran ini merupakan hasil kerjasama strategik antarabangsa melibatkan negara Bahamas, Mesir, Perancis, Filipina, dan Thailand, bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), FDI World Dental Federation, University College London serta Village Research.
 
Acara ini memperkukuh mesej Deklarasi Bangkok: "Tiada Kesihatan Tanpa Kesihatan Mulut", yang menyeru agar penyakit mulut diberi keutamaan dalam agenda kesihatan global. Deklarasi ini menegaskan komitmen negara anggota terhadap Resolusi Kesihatan Mulut WHA 2021 dan menyarankan agar kesihatan mulut diintegrasikan dalam sistem penjagaan kesihatan primer dan agenda Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), selaras dengan matlamat Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) dan kelestarian alam sekitar.
 
Deklarasi tersebut turut mencadangkan agar sasaran utama dalam Pelan Tindakan Kesihatan Mulut Global 2023–2030 dimasukkan dalam Deklarasi Politik Mesyuarat Peringkat Tinggi Keempat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHLM) Mengenai NCD yang akan diadakan pada September 2025 di New York. Penubuhan Gabungan Global untuk Kesihatan Mulut juga diumumkan sebagai platform kerjasama antara negara dan rakan kongsi untuk menyokong tindakan bersama.
 
Matlamat utama acara ini adalah untuk mempromosikan Deklarasi Bangkok sebagai rujukan dalam merangka Deklarasi UNHLM; meneroka peluang sinergi antara pelbagai pihak bagi memastikan penyakit mulut diangkat dalam agenda global NCD; dan berkongsi amalan terbaik dalam integrasi penjagaan kesihatan mulut dalam kerangka UHC dan NCD.
 
Menurut WHO, penyakit mulut menjejaskan 3.7 bilion penduduk dunia dan merupakan antara NCD yang paling meluas. Di Malaysia dianggarkan 94.6 peratus orang dewasa memerlukan rawatan pergigian dan ini adalah menurut Tinjauan Kesihatan Kebangsaan tahun 2020.
 
Usaha ini adalah seiring dengan amalan prinsip Malaysia MADANI bagi memastikan rakyat mencapai mutu kehidupan yang lebih tinggi, mampu menjalankan fungsi kehidupan harian seperti makan, bercakap dan bernafas dengan baik (Kemampanan). Malah, dengan meningkatkan akses perkhidmatan penjagaan kesihatan mulut, ia mengurangkan tanggungan beban kewangan rakyat menerusi promosi pencegahan penyakit mulut dan NCDs sepanjang hayat, pengesanan awal penyakit pergigian, menangani kesan psikososial terhadap keyakinan diri, meningkatkan produktiviti harian tanpa rasa sakit, dan rasa malu (Kesejahteraan). Ia turut memastikan kumpulan rentan dan terpinggir tidak ketinggalan dalam menikmati hak asasi terhadap penjagaan kesihatan mulut yang berkualiti, setara dan mampu milik (Ihsan).

Malaysia kekal komited untuk memperjuangkan kesihatan mulut sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia dan akan terus berganding bahu bersama rakan strategik antarabangsa untuk memperluas akses serta mengurangkan beban penyakit pergigian menjelang tahun 2030.
 
Dikeluarkan Oleh
Program Kesihatan Pergigian,
Melalui

Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
20 MEI 2025

SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: TIMOTHY PALAVADRAM
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia 
E-mel: timothy.palavadram@moh.gov.my

--BERNAMA
Back to Home