SITUASI SEMASA JANGKITAN COVID-19 DI MALAYSIA

Released on: Monday, 19 May 2025 10:52AM

 

PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum tentang situasi COVID-19 yang meningkat di negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand yang dilaporkan oleh ASEAN Biological Threats Surveillance Centre mulai 13 hingga 14 Mei 2025.
 
Malaysia merekodkan sejumlah 11,727 kes COVID-19 di seluruh negara dari Minggu Epidemiologi (ME) 1 hingga ME19/2025 (sehingga 10 Mei 2025). Kes tertinggi dicatatkan pada minggu awal tahun dengan 960 kes pada ME1/2025 dan 1,229 kes masing-masing pada ME2/2025 dan ME3/2025. Kes harian menunjukkan trend penurunan berterusan sehingga mencapai 210 kes pada ME15/2025. Bagi tempoh ME16 hingga ME19/2025, purata sekitar 600 kes seminggu telah direkodkan, dan jumlah ini masih berada di bawah paras ambang amaran.
 
COVID-19 kekal sebagai penyakit berjangkit yang wajib dilaporkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342]. Pelaporan kes melibatkan fasiliti kesihatan awam dan swasta dikemaskini secara real time melalui sistem e-Notifikasi iaitu platform pemantauan Bahagian Kawalan Penyakit, KKM. Ia bertujuan untuk memastikan pengesanan awal dan tindakan balas segera dapat dilaksanakan.
 
KKM turut melaksanakan pemantauan melalui sistem survelan khabar angin (rumours surveillance). Mekanisma ini membolehkan pengesanan awal terhadap potensi kejadian luar jangka berdasarkan maklumat tidak rasmi daripada masyarakat, media dan saluran lain yang sah, sekali gus memperkukuh sistem amaran awal negara.

Sebarang maklumat atau amaran berkaitan peningkatan kes penyakit berjangkit, termasuk COVID-19, akan disalurkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC). CPRC akan menilai tahap risiko dan mengambil langkah kesiapsiagaan sewajarnya sekiranya situasi tersebut berpotensi mencetuskan krisis kesihatan awam atau bencana nasional.
 
KKM akan terus memantau perkembangan semasa COVID-19 di dalam dan luar negara serta melaksanakan langkah kawalan dan pencegahan yang bersesuaian berdasarkan penilaian risiko terkini. Sebarang ancaman kepada kesihatan masyarakat akan dimaklumkan oleh KKM dari semasa ke semasa. Ini selaras dengan agenda kesihatan KKM dan juga nilai teras MADANI iaitu Kesejahteraan bagi memastikan rakyat Malaysia sentiasa menerima manfaat kesihatan sektor awam secara inklusif dan harmoni. Orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi langkah kesihatan awam, mendapatkan rawatan segera sekiranya bergejala, dan melindungi golongan berisiko tinggi melalui tindakan yang bertanggungjawab.
 
KKM menasihatkan orang ramai agar terus mengamalkan langkah pencegahan kawalan kendiri khususnya kumpulan berisiko tinggi yang digalakkan untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan, komplikasi serius dan kematian.
 
Orang awam boleh mendapatkan maklumat mengenai COVID-19 di laman sesawang rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia di www.moh.gov.my

Dikeluarkan oleh:
Bahagian Kawalan Penyakit

Melalui:
Unit Komunikasi Korporat
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
16 MEI 2025 

SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: TIMOTHY PALAVADRAM
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia 
E-mel: timothy.palavadram@moh.gov.my

--BERNAMA


 
Back to Home