KANAK-KANAK MENGALAMI DEMAM PANAS DAN DISERANG SAWAN KETIKA MENUNGGU KEMASUKAN KE WAD DI HOSPITAL MELAKA

Released on: Monday, 19 May 2025 10:19AM

 

PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada laporan berita portal Malaysia Gazette bertajuk “Budak Diserang Sawan Akibat Hospital Melaka ‘Sidai’ Anak Demam Panas Sehingga 11 Jam” bertarikh 12 Mei 2025.

Menurut sumber Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka, berdasarkan rekod rawatan, pesakit telah didaftar masuk ke Hospital Melaka pada jam 4.07 petang, hari Sabtu, 10 Mei 2025 setelah mengalami demam selama dua (2) hari.

Pesakit yang merupakan kanak-kanak perempuan berusia 22 bulan telah menerima rawatan awal di Jabatan Kecemasan dan Trauma. Keadaan pesakit pada ketika itu adalah stabil dengan suhu 37.7ºC dan telah dirancang untuk  dimasukkan ke wad. Namun begitu, kemasukan tertangguh disebabkan oleh jumlah pesakit yang tinggi pada ketika itu. Pesakit telah mengalami sawan ketika menunggu giliran ke wad tetapi telah berjaya distabilkan setelah mendapat rawaratn kecemasan. Pesakit dimasukkan ke wad pada jam 1.40 pagi, hari Ahad, 11 Mei 2025 dan telah selamat discaj pada jam 5.00 petang, hari Isnin ,12 Mei 2025.

KKM memandang serius terhadap insiden ini dan akan menjalankan siasatan yang telus bagi mengenal pasti punca sebenar serta mengambil langkah penyelesaian yang tuntas agar ia tidak berulang. Ia seiring dengan misi KKM dan nilai teras Madani iaitu Ihsan, yang menerapkan unsur empati dalam menjamin penyampaian perkhidmatan yang berkualiti tinggi manakala Kesejahteraan yang membawa kepada keharmonian sosial di antara pemberi dan penerima manfaat kesihatan sektor awam khususnya pelanggan KKM.

Dikeluarkan oleh:
Jabatan Kesihatan Negeri Melaka
Melalui:
Unit Komunikasi Korporat
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
16 MEI 2025 

SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:

Nama: TIMOTHY PALAVADRAM
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia 
E-mel: timothy.palavadram@moh.gov.my


--BERNAMA

 
Back to Home