MAKLUMAN PRODUK KOSMETIK YANG DIKESAN MENGANDUNGI RACUN BERJADUAL

Released on: Friday, 16 May 2025 9:44AM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik berikut kerana dikesan mengandungi racun berjadual seperti di bawah:
 
Bil.Nama ProdukRacun Berjadual Yang Dikesan
1.1SERI AYU SECRET – RADIANT REPAIR CREAMMerkuri

Susulan daripada itu, notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL

Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK KOSMETIK INI

Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM

Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam juga digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

KKM akan terus memberikan maklumat dan nasihat berhubung perkara seumpama ini demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia terus terjaga.

KKM akan terus memberikan maklumat dan nasihat berhubung perkara seumpama ini demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia terus terjaga. Ini adalah selaras dengan konsep MADANI merangkumi kemampanan hidup masyarakat Malaysia untuk lebih berpengetahuan tentang satu-satu produk kesihatan, kesejahteraan yang merujuk kepada kesihatan menyeluruh, keyakinan merujuk kepada inisiatif KKM memberikan maklumat tepat agar rakyat lebih memilih dan seterusnya berkeyakinan dalam menggunakan produk kesihatan yang sah dan ihsan yakni memastikan kita saling mengingatkan akan penggunaan bahan-bahan kesihatan mahupun kecantikan.

LAMPIRAN

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Timothy A/L Palavadram
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
E-Mel: timothy.palavadram@moh.gov.my 

--BERNAMA

 
Back to Home