KEPENGERUSIAN ASEAN 2025 – KUSKOP, MFA PERKUKUH EKOSISTEM FRANCAIS RANTAU ASEAN

Released on: Friday, 28 Feb 2025 11:03AM


Table
YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama YBhg. Datuk Dr. Radzali Hassan, Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan Ybrs. Encik Adila Sabri bin Muhammad, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Francais dan Vendor, KUSKOP ketika menyempurnakan gimik Majlis Pelancaran AFC & FIM.


KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Ke arah memperkukuh ekosistem francais di rantau ASEAN, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA) akan menghimpunkan pemain industri, pelabur, dan penggiat francais dari dalam serta luar negara di Konvensyen Francais ASEAN (AFC) dan Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM).
 
Usaha ini selari dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini. AFC akan diadakan pada 7 dan 8 Mei manakala FIM pula berlangsung mulai 8 hingga 10 Mei bertempat di Dewan 1 dan 2, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
 
Acara berprestij ini dijangka menjadi platform utama dengan menampilkan sesi perkongsian strategik, pameran francais serta peluang jaringan perniagaan bagi merancakkan lagi perkembangan industri francais serantau.
 
Menurut YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi penganjuran ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam memajukan sektor francais sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi serantau.
 
"Konvensyen dan pameran ini bukan sahaja mempromosikan jenama francais tempatan ke peringkat global, tetapi juga menarik pelaburan asing ke dalam negara serta membuka lebih banyak peluang keusahawanan dalam kalangan rakyat Malaysia dan ASEAN," katanya.
 
Selain itu, pihak kementerian juga komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dalam menyokong pembangunan industri ini iaitu memperkenalkan Dasar Francais Negara 2030 (DFN2030) yang dilancarkan baru-baru ini. DFN2030 bertujuan memperkukuh ekosistem francais di Malaysia dan memperluas akses pasaran di dalam dan luar negara.  Dasar ini merangkumi lima teras utama, iaitu penambahbaikan dasar dan tadbir urus, mempromosikan francais sebagai model perniagaan pilihan, meningkatkan kapasiti dan keupayaan usahawan francais, mengoptimumkan akses kepada bantuan kewangan dan meningkatkan penembusan pasaran pada peringkat domestik dan global.
 
Sementara itu, Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan turut menyatakan kepentingan acara ini dalam memperkukuh daya saing francais tempatan di persada antarabangsa. "Industri francais Malaysia telah membuktikan keupayaannya untuk berkembang pesat dan bersaing di peringkat global. Melalui platform ini, kami berharap dapat menggalakkan lebih banyak kolaborasi dan inovasi dalam sektor francais ASEAN," ujarnya dalam satu sidang media AFC dan FIM di Kuala Lumpur.
 
Menerusi tema tahun ini iaitu “Membentuk Masa Depan Francais di ASEAN: Kemampanan, Digitalisasi, dan Pertumbuhan”, AFC akan menumpukan kepada aspek kemampanan francais, digitalisasi, dan pertumbuhan industri. Sasaran utama AFC termasuk penggiat industri francais, pelesen, pelabur, wakil-wakil francais, dan pegawai kerajaan dari negara-negara ASEAN.
 
FIM pula mendapat pengiktirafan daripada World Franchise Council (WFC) dan Asia Pacific Franchise Confederation (APFC). Penganjuran kali ini dijangka menarik penyertaan ratusan jenama francais dari pelbagai sektor, termasuk makanan dan minuman (F&B), peruncitan, perkhidmatan, pendidikan, dan banyak lagi. Program ini juga mensasarkan lebih 30 ribu pengunjung, dengan nilai jualan francais dijangka mencecah RM600 juta.
 
Menurut Datuk Dr. Radzali Hassan, sehingga kini, lebih 70% daripada ruang pameran telah diisi oleh lebih 80 jenama francais tempatan dan antarabangsa. Sehubungan itu, MFA menggalakkan usahawan, sama ada francaisor atau bakal francaisor, untuk menyertai FIM bagi mempromosikan pakej perniagaan, produk, serta perkhidmatan yang ditawarkan.
 
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi www.myfim.my atau hubungi pihak MFA di talian 03-6241 4141.

MAKLUMAT TAMBAHAN MENGENAI AFC DAN FIM 2025
 
KONVENSYEN FRANCAIS ASEAN (AFC) 2025 

 PAMERAN FRANCAIS ANTARABANGSA MALAYSIA (FIM)  2025 

SUMBER: Persatuan Francais Malaysia (MFA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Puan Hartini Binti Hashim
Ketua Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Tel: 012- 9307504
E-mel: hartini.hashim@kuskop.gov.my
 
Nama: Puan Nurul Ain
Perhubungan Awam, Bahagian Pembangunan Program & Operasi
Persatuan Francais Malaysia (MFA)
Tel: 011-2924 0213
E-mel: ain.mohamad@mfa.org.my

--BERNAMA
Back to Home