ISTIADAT KONVOKESYEN INSTITUT KRAF NEGARA (IKN) KE-24 TAHUN 2026

Released on: Thursday, 12 Nov 2026 4:21PM

Table
Penerima Anugerah pelajar terbaik, Vanessa (kiri), Mohamad Asyraf Abdullah (kanan) dan Mohamad Jaiyid Faizi (kanan) bersama Yang Berbahagia Dato' Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian, Pelancongan, Seni dan Budaya pada majlis Konvokesyen Institut Kraf Negara (IKN) ke-24 tahun 2026 di Institut Kraf Negara.
 
RAWANG, 12 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menganjurkan Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara Ke-24 bagi tahun 2026 bertempat di Dewan Cindai, Institut Kraf Negara yang disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato' Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian, Pelancongan, Seni dan Budaya.
 
Turut hadir, Yang Berusaha Encik Abdul Halim bin Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia dan Encik Shamsul Azizi bin Samsudin, Pengarah Kanan Institut Kraf Negara.
 
Pada Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara Ke-24, seramai 200 orang graduan diraikan terdiri daripada 51 orang merupakan penerima Diploma Seni Kraf, 17 orang penerima Sijil Seni Kraf, 48 orang penerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui Sistem Latihan Program Bertauliah (SKM-SLaPB). Turut diraikan empat orang penerima Sijil Kemahiran Malaysia melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) menerusi Pusat Penilaian Amali (PPA) dan 80 orang penerima Sijil Kemahiran Malaysia melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) menerusi Program ([R]ACE-ILB 2026) di bawah Kraftangan Malaysia selaku Badan Peneraju Industri atau Industry Lead Body (ILB).
 
Kraftangan Malaysia telah dilantik sebagai Badan Peneraju Industri atau Industry Lead Body (ILB) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) pada 14 Oktober 2025 bagi tempoh 2025 hingga 2028. Menerusi lantikan ini, industri kraf negara terus diperkukuh dalam pelbagai aspek termasuk pembangunan modal insan yang berkemahiran tinggi dalam bidang kraf. Sejak Program Sijil Kemahiran Malaysia melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) diperkenalkan pada tahun 2024 di IKN, seramai 11 orang peserta berjaya dianugerahkan SKM Tahap 3 telah diraikan sempena Majlis Istiadat Konvokeysen IKN kali Ke-22 dan Ke-23.
 
IKN berbangga apabila pada tahun 2026 merekodkan pendaftaran pelajar baharu seramai 223 orang iaitu peningkatan sebanyak 13% berbanding 198 orang pada tahun 2025 dan merupakan rekod tertinggi pendaftaran pelajar baharu dalam tempoh 21 tahun. Angka ini menunjukkan IKN menjadi institusi pilihan utama dalam bidang pengajian seni kraf.
 
Bersempena Istiadat Konvokesyen IKN Ke-24 ini juga, Watikah Pelantikan Adiguru Kraf turut disampaikan kepada dua orang pengusaha kraf yang memiliki kepakaran tinggi dalam seni ciptaan dan pertukangan kraf. Pengiktirafan ini sekaligus dapat mengukuhkan imej dan peranan tokoh sebagai pakar rujuk bagi memartabatkan seni kraf negara di peringkat nasional dan antarabangsa. (Rujuk buku program Istiadat Konvokesyen IKN ke-24 untuk maklumat lanjut). Selain itu juga, buat julung kalinya turut diacarakan Pelancaran Jurnal Seni Kraf Jilid Kedua dan Ketiga sebagai simbolik Sambutan Jubli Perak Penubuhan IKN yang Ke-25.
 
Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara Ke-24 yang berlangsung pada hari ini, dimeriahkan dengan Pesta Konvokesyen IKN Ke-24 bermula pada 11 dan 12 November 2026 (Rabu dan Khamis) pukul 10.00 pagi sehingga 5.00 petang. Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan antaranya jualan produk kraf, demonstrasi dan pameran Jurusan Seni Kraf melibatkan Jurusan Seni Kraf Batik, Logam, Kayu, Seramik, Tenunan dan Rotan serta jualan makanan.

LINK GAMBAR
https://drive.google.com/file/d/1kAOmj481sSX-bVEnJiPR42rx8wje9gWd/view?usp=sharing

SUMBER: KRAFTANGAN MALAYSIA

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nuraishah Ya
Tel: +6018 3844780
E-mel: nuraishah@kraftangan.gov.my 

--BERNAMA 
Back to Home