Ekspo Kebudayaan Antarabangsa Laluan Sutera (Dunhuang) Kali Ke-9
DUNHUANG, China, 5 Nov., 2026 / Xinhua-AsiaNet –
Ekspo Kebudayaan Antarabangsa Laluan Sutera (Dunhuang) Kali Ke-9 membuka tirainya di Dunhuang, wilayah Gansu, pada 3 November, dengan menghimpunkan tetamu dari dalam dan luar negara bagi memperkukuhkan dialog serta persefahaman antara tamadun.
Dengan bertemakan “Memperkasakan Pertukaran Budaya dan Memupuk Pembelajaran Bersama di antara Tamadun” , ekspo kali ini menarik penyertaan lebih 1,000 peserta dari lebih 50 buah negara, organisasi antarabangsa serta Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong dan Macau, China.
Sebagai sebuah pusat bersejarah di sepanjang Laluan Sutera purba yang pernah menjadi titik pertemuan tamadun Timur dan Barat, Dunhuang kini menjadi tuan rumah kepada ekspo antarabangsa komprehensif China yang khusus mengetengahkan pertukaran kebudayaan dalam kerangka Inisiatif Belt and Road.
Penganjuran edisi kali ini merangkumi 18 acara merentasi tujuh kategori, termasuk pameran, persembahan dan aktiviti kebudayaan. Turut berlangsung serentak ialah Forum Dunhuang 2026 yang menampilkan lapan forum kecil, dengan tumpuan kepada pengajian Dunhuang, pemuliharaan warisan serta kerjasama China dengan negara-negara Asia Tengah dan Selatan di bawah Inisiatif Belt and Road.
Ramai peserta berpandangan bahawa Dunhuang bukan sahaja menyimpan khazanah warisan budaya yang amat bernilai, malah mewariskan pengajaran sepanjang zaman kepada negara-negara dalam usaha mencari titik persamaan di sebalik perbezaan, saling menimba ilmu dan hidup bersama secara aman. Penghayatan kebijaksanaan silam serta semangat Laluan Sutera diyakini mampu menyemarakkan dialog, meningkatkan persefahaman dan memupuk keamanan. Mereka turut berharap agar ekspo ini terus menjadi wadah yang merapatkan hubungan antara masyarakat dunia serta membuka lebih banyak peluang kerjasama yang saling menguntungkan.
Sejak diperkenalkan pada 2016, ekspo ini telah menghimpunkan hampir 10,000 orang delegasi dari lebih 120 buah negara bagi meneroka kerangka kerjasama dan pertukaran budaya, berkongsi kemajuan dalam usaha melindungi warisan serta merintis pendekatan baharu dalam pembangunan kebudayaan.
SUMBER: Ekspo Kebudayaan Antarabangsa Laluan Sutera (Dunhuang) Kali Ke-9
--BERNAMA