Ekspo China-ASEAN Ke-23 Melabuhkan Tirai dengan Jayanya, Berkongsi Peluang Kerjasama Baharu di Bawah Kawasan Perdagangan Bebas 3.0

Released on: Tuesday, 13 Oct 2026 5:10PM

Table

Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) Ke-23


NANNING, China, 13 Okt., 2026 /Xinhua-AsiaNet/ —

Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) Ke-23 yang berlangsung selama lima hari baru-baru ini telah melabuhkan tirai dengan jayanya di Nanning, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, China. Mengangkat tema “Berkongsi Peluang Versi 3.0, Membina Kehidupan Lebih Baik Bersama”, edisi ekspo kali ini memberi tumpuan kepada ekonomi dan perdagangan, mengetengahkan kecerdasan buatan (AI), meletakkan perusahaan sebagai penggerak utama serta mengutamakan aplikasi praktikal. Penganjuran yang berorientasikan hasil dan manfaat ini berjaya mencapai matlamat untuk memastikan mutu penganjuran yang tinggi, menampilkan ciri-ciri tersendiri serta memperluaskan pengaruh ekspo di peringkat serantau dan antarabangsa.

Dengan susun atur serba baharu yang menggabungkan “dewan pameran utama + zon pameran bertema khusus + zon pameran di lokasi berasingan”, ekspo ini berpusat di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Nanning, dengan dua lokasi tambahan, iaitu Komuniti Nan-A dan Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Guilin. Meliputi kawasan pameran seluas 170,000 meter persegi, ekspo ini menghimpunkan 3,432 perusahaan dari 73 buah negara dan wilayah, meningkat 5.3% berbanding edisi sebelumnya. Ketiga-tiga lokasi pameran itu merekodkan lebih 360,000 kunjungan, sekali gus mencatatkan rekod tertinggi. Sebanyak 53 acara berkaitan ekonomi dan perdagangan turut dianjurkan, selain pelbagai persidangan peringkat tinggi yang merentasi sektor, sekali gus meningkatkan keberkesanan usaha mempertemukan rakan niaga dan memudah cara kerjasama perdagangan.

Timor-Leste menyertai ekspo ini buat julung kalinya sebagai negara tuan rumah bersama, menandakan bermulanya format penganjuran baharu CAEXPO yang melibatkan “13 pihak dari 12 buah negara”. Satu model inovatif “ASEAN Mengemukakan Persoalan, China Menawarkan Penyelesaian” turut diperkenalkan, dengan senarai keperluan negara-negara ASEAN diterbitkan bagi memadankan permintaan dengan penyelesaian yang bersesuaian. Zon pameran AI diperluas sebanyak 60% berbanding edisi terdahulu, manakala Hab Pasaran AI yang mendapat sambutan menggalakkan merekodkan nilai urus niaga melebihi 28 juta yuan. Dengan sokongan ejen pintar “Ekspo yang dipacu oleh AI”, sebanyak 8,000 padanan perniagaan dilaksanakan sebelum ekspo, diikuti 2,000 padanan lagi sepanjang acara berlangsung. Pendekatan ini mengalihkan tumpuan ekspo daripada sekadar mempamerkan produk dan teknologi kepada pemudahcaraan urus niaga sebenar serta pembentukan perkongsian perniagaan yang praktikal.

Penganjuran kali ini membuahkan enam pencapaian utama: memperkukuh kesepakatan strategik berhubung Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN Versi 3.0, di samping menghasilkan pencapaian nyata dalam bidang ekonomi dan perdagangan; menerbitkan satu siri laporan, buku biru dan piawaian ekonomi serta perdagangan; melancarkan satu model rentas sempadan berasaskan industri serta merasmikan penubuhan Jawatankuasa Profesional Kerjasama Data China-ASEAN di bawah Pertubuhan Data Sedunia;  memperluas kerjasama inovatif dalam bidang kewangan berasaskan AI; memperkukuh kerjasama merentas pelbagai sektor menerusi “Saluran Nanning”; dan menubuhkan Perikatan Taman Perindustrian di sepanjang Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu, sekali gus menyuntik momentum baharu berteraskan pendigitalan dan kecerdasan pintar ke dalam kerjasama serantau.

Ekspo China-ASEAN Ke-24 dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 21 September, 2027. Singapura akan menjadi Negara Tema, manakala Bandar Nanjing akan diketengahkan sebagai Bandar Pesona China.

SUMBER: Sekretariat Ekspo China-ASEAN 

--BERNAMA

Back to Home