DARI SISA KE KARYA PENYERTAAN SUSTAINABLE WOOD DIY CONTEST 2026 MELONJAK LEBIH TIGA KALI GANDA

Released on: Tuesday, 06 Oct 2026 4:49PM

Table

Meraikan para pemenang MTC Sustainable Wood DIY Contest 2026: Tiga pemenang terbaik bagi Kategori Awam dan pemenang Anugerah Pilihan Ramai (People’s Choice Award), bergambar bersama YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Perladangan dan Komoditi (tengah), serta wakil-wakil Kementerian dan MTC, termasuk Pengerusi MTC (ketiga dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif MTC (paling kiri).


Sebanyak 149 penyertaan diterima, dengan 20 finalis dipamerkan di IOI City Mall

 
PUTRAJAYA, 6 Okt (Bernama) -- Penyertaan Sustainable Wood DIY Contest 2026 melonjak lebih tiga kali ganda apabila sebanyak 149 penyertaan diterima tahun ini, berbanding 48 penyertaan pada penganjuran sulungnya pada 2024.
 
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 88 penyertaan atau 59 peratus diterima bagi Kategori Pelajar, manakala 61 penyertaan lagi bagi Kategori Awam. Peningkatan ini menunjukkan minat yang semakin tinggi, khususnya dalam kalangan generasi muda, untuk meneroka potensi kayu melalui reka bentuk, penggunaan semula dan penghasilan produk kreatif.
 
Pameran pertandingan anjuran Malaysian Timber Council (MTC) itu berlangsung selama tiga hari di IOI City Mall, Putrajaya, dengan menampilkan 20 produk finalis daripada Kategori Awam dan Kategori Pelajar. Majlis penyampaian hadiah yang berlangsung pada 4 Oktober 2026 telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Perladangan dan Komoditi.
 
Menurut beliau, pertandingan tersebut menunjukkan bagaimana kreativiti dan inovasi dapat membantu mengoptimumkan penggunaan kayu, termasuk bahan lebihan yang masih mempunyai nilai.
 
“Sisa dan lebihan kayu boleh diberikan fungsi serta nilai baharu melalui kreativiti, reka bentuk dan kemahiran.
 
“Usaha seperti ini bukan sahaja mengetengahkan bakat baharu, malah menggalakkan penghasilan produk kayu yang kreatif, berfungsi dan bernilai tambah. Pendekatan ini penting dalam usaha memperkukuh daya saing industri perkayuan negara,” katanya.
 
Bertemakan From Waste to Wonders, pertandingan tersebut telah menggalakkan peserta mengolah sisa kayu, kayu kitar semula, kayu guna semula dan lebihan potongan kayu menjadi produk yang kreatif, berfungsi serta bernilai tambah.
 
Antara hasil rekaan yang dipertandingkan ialah lampu meja eko-kraf, gitar kayu, kerangka dwifungsi yang boleh digunakan sebagai tempat duduk, papan catur lipat, set meja kerja kreatif serta rekaan lampu yang inovatif.
 
Pertandingan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha MTC untuk meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kayu sebagai sumber yang boleh diperbaharui. Pada masa yang sama, pertandingan itu menggalakkan penggunaan sumber kayu secara kreatif, optimum dan bertanggungjawab.
 
Pengerusi MTC, Datu Haji Zainal Abidin Haji Abdullah, berkata peningkatan penyertaan mencerminkan sambutan yang semakin meluas terhadap pertandingan tersebut.
 
“Peningkatan daripada 48 penyertaan pada 2024 kepada 149 penyertaan pada tahun ini amat memberangsangkan. Ia menunjukkan bahawa pertandingan ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, selain menarik lebih ramai peserta meneroka potensi kayu secara kreatif.
 
“Pertandingan ini turut menjadi platform untuk mendekatkan masyarakat dengan industri perkayuan dan memperlihatkan bagaimana kayu boleh diolah menjadi produk yang berguna serta bernilai,” katanya.
 
Para finalis telah dinilai berdasarkan aspek kreativiti, kelestarian, fungsi dan mutu pertukangan. Markah akhir merangkumi 60 peratus penilaian juri dan 40 peratus undian awam.
 
Bagi setiap kategori, pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,500, RM1,000 dan RM500. Peserta yang menduduki tempat keempat hingga ke-10 pula menerima RM100 setiap seorang berserta sijil.
 
Bagi Kategori Awam, Jeffrey Yong Chin Hoe meraih tempat pertama menerusi Universe IV, sebuah gitar buatan tangan, diikuti Mohd Haidil bin Sulaiman di tempat kedua dengan Sutra Bowl (Nyibodak), manakala Falah bin Abu menduduki tempat ketiga menerusi Tri-Element: Eco-Craft Desk Lamp, sebuah lampu meja dekoratif yang dihasilkan daripada kayu guna semula.
 
Bagi Kategori Pelajar, Bryan Khoo Ting Xiang dari SMK St Xavier muncul sebagai pemenang tempat pertama menerusi Anima Ligni, sebuah papan catur yang dihasilkan daripada kayu terpakai yang dimanfaatkan semula bersama kayu keras; Nur Hamra binti Nasir dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, meraih tempat kedua dengan Foldable Chessboard; manakala Nurin Sofiya binti Izamri dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menduduki tempat ketiga menerusi Kumbu Craft, sebuah meja sisi yang menampilkan reka bentuk tersendiri. Karya-karya yang memenangi pertandingan memperlihatkan tahap kreativiti dan pertukangan yang tinggi, di samping pendekatan inovatif dalam mengolah sisa kayu, lebihan potongan dan kayu guna semula menjadi produk yang berfungsi, unik serta bernilai tambah.
 
Pertandingan itu turut mengiktiraf pilihan orang ramai menerusi Anugerah Pilihan Ramai (People’s Choice Award), yang ditentukan berdasarkan undian tertinggi daripada pengunjung pusat beli-belah sepanjang pameran pada 2 dan 3 Oktober 2026.
 
Bagi Kategori Awam, anugerah tersebut dimenangi oleh Wooden Heart – PC Casing hasil rekaan Noorashikin binti Othman dari Kolej Komuniti Jelebu. Bagi Kategori Pelajar, Lengkungan Cahaya Estetika, hasil rekaan Muhammad Danny Ashraff bin Ishamuddin, Shiekh Ajnabil bin Shiekh Fazilur Rahman dan Muhammad Haikal bin Azmi dari Kolej Komuniti Kuala Langat, menerima undian awam tertinggi sekali gus meraih Anugerah Pilihan Ramai.
 
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Puan Noraihan Abdul Rahman berkata, pertandingan tersebut turut mengetengahkan nilai kayu sebagai sumber yang boleh diperbaharui serta kepentingan menggunakannya secara optimum dan bertanggungjawab.
 
“Kayu mempunyai nilai jangka panjang apabila digunakan secara bertanggungjawab. Bahan yang dianggap tidak lagi berguna juga masih boleh diberikan fungsi baharu.
 
“Pertandingan ini membuktikan bahawa sisa dan lebihan kayu bukan sekadar bahan buangan, sebaliknya boleh diolah menjadi produk yang mempunyai nilai melalui kreativiti, reka bentuk dan kemahiran,” katanya.
 
Rekayu Penang, sebuah ruang kreatif dan bengkel kerja kayu yang beroperasi di Pulau Pinang, bersama Universiti Putra Malaysia (UPM), turut memainkan peranan sebagai Rakan Strategik pertandingan tersebut.
 
Kerjasama itu menggabungkan kepakaran pertukangan kayu dan akademik bagi memperluas penglibatan pelajar, penggiat kreatif serta masyarakat umum.
 
Industri perkayuan Malaysia terus memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, dengan nilai eksport kayu dan produk kayu mencecah RM21.51 bilion pada 2025.
 
Dalam pasaran global yang semakin menitikberatkan aspek kemampanan, usaha mengoptimumkan penggunaan bahan dan menghasilkan produk bernilai tambah penting bagi memperkukuh daya saing industri perkayuan Malaysia.
 
Mengenai Malaysian Timber Council
Malaysian Timber Council (MTC) ditubuhkan pada Januari 1992 untuk menggalakkan pembangunan dan pertumbuhan industri perkayuan negara. Antara objektif utama MTC adalah untuk mempromosikan perdagangan dan membangunkan pasaran produk perkayuan Malaysia di peringkat global, memperkasa industri melalui pengembangan teknologi pembuatan dan peningkatan pengeluaran bernilai tambah, memperkukuh bekalan bahan mentah bagi industri pemprosesan kayu-kayan, menyediakan perkhidmatan perkongsian maklumat dan khidmat nasihat yang relevan kepada industri, serta meningkatkan kredibiliti dan reputasi industri perkayuan Malaysia di peringkat global. Maklumat lanjut mengenai aktiviti MTC boleh diperoleh di laman web www.mtc.com.my.
 

SUMBER: Malaysian Timber Council (MTC) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Puan Sharmila Velappu
Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: 03-9286 9971
E-mel: sharm@mtc.com.my

Nama: Puan Nur Amira Faezah Mohd Shaofi
Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: 03-9286 9978
E-mel: amira.faezah@mtc.com.my 

--BERNAMA
Back to Home