KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) telah menganjurkan Malaysia International Craft Fair (MICF) 2026 bermula pada 24 September hingga 5 Oktober 2026, dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
Penganjuran MICF 2026 bertemakan ‘Crafting Heritage, Inspiring Tomorrow’ membawa maksud usaha membentuk dan memelihara warisan seni kraf sebagai sumber inspirasi untuk masa depan. Tema ini mengetengahkan kekayaan budaya melalui kraf tangan tradisional yang diolah dengan pendekatan moden, kreatif dan inovatif agar terus relevan di peringkat global.
Penganjuran MICF 2026 yang berlangsung selama 12 hari ini melibatkan 400 penyertaan yang merangkumi 300 usahawan kraf tempatan dari seluruh Malaysia serta 100 usahawan kraf antarabangsa daripada lebih 20 buah negara. MICF 2026 menjadi platform pertemuan usahawan kraf dengan pembeli domestik dan antarabangsa seperti syarikat pengeksport barangan berkaitan kraf, agensi Kerajaan, syarikat perhotelan dan pusat beli belah.
Selain itu, melalui MICF 2026 aktiviti Padanan Perniagaan (B2B) akan diadakan melalui 2 sesi iaitu pada 24 hingga 28 September 2026 dan 1 hingga 5 Oktober 2026 yang melibatkan penyertaan daripada pembeli korporat antarabangsa seperti USA, Mauritius, Qatar, Australia, Perancis, Korea Selatan, UAE dan Filipina.
Menariknya, MICF 2026 turut mengangkat keunikan seni kraf antarabangsa menerusi demonstrasi kraf daripada enam buah negara iaitu China yang mengetengahkan seni Ukiran Jade, New Zealand (Ukiran Maori), Uzbekistan (
Jewellery Art), Sri Lanka (
Beeralu Lace Work), Indonesia (Seni Kulit) dan India (
Tarkashi Brass Inlay). Manakala, demonstrasi kraf tempatan melibatkan 10 orang yang terdiri daripada Adiguru Kraf dan usahawan kraf.
Selain menawarkan pelbagai jualan produk kraf tempatan dari seluruh Malaysia, Malaysia International Craft Fair (MICF) 2026 menampilkan pelbagai tarikan istimewa yang memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung. Antara pengisian yang disediakan ialah Pameran, Ekspresi dan Eksplorasi Kraf, Bicara Kraf Antarabangsa, Peragaan Fesyen Antarabangsa, Persembahan Kesenian dan Aktiviti Galakan Pengunjung.
Pelbagai aktiviti turut dianjurkan dengan kerjasama rakan strategik seperti Pertandingan Tarian Tradisional Fusion Malaysia, Threading Heritage Through Turkiye, Piala Seri Ibu, Reka Rona Malaysia, Reka Cipta Baju Kurung dan Baju Kebaya, Pertandingan Ratu Kebaya, Pertandingan Nyanyian Warisan Malaysia, Miss Malaysia Kebaya, Kejohanan Silat Seni, Hikayat Wangsa 2026, Heritage Treasure Hunt, Polycc Fashion Week 2026, Face Of Asia Malaysia 2026 serta Baju dan Lagu.
Maklumat lanjut berkaitan Malaysia International Craft Fair (MICF) 2026 boleh layari
www.micf.com.my Link Gambar
https://drive.google.com/drive/folders/1oPeAGRmTWcOTEaIOsGLjlCG_hdCKJSL0?usp=sharing SUMBER: Kraftangan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nuraishah Ya
Tel: +6018 3844780
Emel: nuraishah@kraftangan.gov.my
--BERNAMA