MELAKA, 29 Sept (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, dengan kerjasama Persatuan Seni Budaya Tari Aliff Johor Bahru (PSBTAJB) dan Sekolah Seni Malaysia Negeri Johor (SSeMJ), akan mempersembahkan
Panggung Seni Tradisional (PST) menerusi produksi
Muzikal Sri Gemalai: Fragmen Rakyat Johor pada
2 hingga 3 Oktober 2026 di
Panggung Seri, Kompleks JKKN Melaka.
Selepas 13 tahun tertumpu di Kuala Lumpur, PST mula diperluaskan ke Sabah dan Sarawak pada tahun lalu. Pada tahun ini, JKKN meneruskan peluasan PST ke Negeri Sembilan dan Melaka.
Pelaksanaan PST merupakan manifestasi komitmen jabatan ini dalam melindungi dan melestarikan warisan budaya tidak ketara, selaras dengan Teras 3 Dasar Kebudayaan Negara yang memberi penekanan kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya. Program ini dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seni budaya bagi memastikan seni persembahan tradisional terus dipelihara.
Sri Gemalai: Fragmen Rakyat Johor merupakan sebuah
muzikal tari yang mengetengahkan
irama Ghazal Johor sebagai nadi utama persembahan, diserikan dengan
ensemble tradisional Johor, khususnya Zapin serta alunan
muzik orkestra bertali. Gabungan elemen tradisional dan susunan muzik yang lebih segar ini menghasilkan sebuah persembahan yang menampilkan
sentuhan baharu tanpa mengetepikan akar tradisi dan identiti budaya Johor. Produksi ini akan dijayakan seramai 100 orang penari, pemuzik dan produksi.
Persembahan PST
digarap berasaskan konsep fragmen atau potongan cerita yang menggambarkan kehidupan, budaya dan nilai masyarakat Johor melalui lima tema utama iaitu
warisan, kehidupan, identiti, generasi dan masa hadapan, yang diterjemahkan menerusi
bahasa gerak, bunyi, warna dan emosi.
PST Sri Gemalai: Fragmen Rakyat Johor dijangka turut dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka.
Orang ramai dijemput hadir menyaksikan
Muzikal Sri Gemalai: Fragmen Rakyat Johor dengan tiket berharga
RM50 dan RM30 bagi persembahan pada 2 dan 3 Oktober 2026, pukul 8.30 malam, manakala tiket
Matinee Show pada 3 Oktober 2026, pukul 3.30 petang berharga
RM25. Tiket boleh didapati secara dalam talian menerusi
https://www.ticket2u.com.my.
Bagi mendapatkan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari media sosial JKKN Melaka melalui pautan Facebook
www.facebook.com/JKKNMELAKA, TikTok
www.tiktok.com/@jkkn.melaka dan Instagram
www.instagram.com/jkknmelaka_official.
Dikeluarkan Oleh:Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel: 03-2614 8200 Faks: 03-2697 0786
Laman Sesawang:
www.jkkn.gov.my E-mel:
ukk@jkkn.gov.myPlatform Media Sosial Rasmi JKKN:Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya
Instagram, Twitter & YouTube: Mysenibudaya
SUMBER: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Muhammad Zahiruddin bin Dzolkipli Penolong Pegawai Penerangan
Unit Komunikasi Korporat JKKN