Kisah menyentuh hati perjalanan terakhir seorang nenek menangi anugerah UOB Painting of the Year (Malaysia) ke-16

Released on: Monday, 28 Sep 2026 2:55PM

Table
Cik Harpreet Kaur, Pemenang Pelukis Harapan 2026 (Malaysia), Kategori Pelukis Baru; Datuk Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia; dan Cik Lim Tong Xin, Pemenang 2026 UOB Painting of the Year (Malaysia), Kategori Artis Mapan

KUALA LUMPUR, Malaysia, 28 Sept (Bernama) -- UOB Malaysia telah mengumumkan pelukis pelbagai disiplin, Cik Lim Tong Xin, sebagai pemenang anugerah 2026 UOB Painting of the Year (POY) (Malaysia) bagi karya seni beliau bertajuk, “She Waited”.
 
Karya yang amat peribadi ini mengimbas kembali tahun terakhir kehidupan nenek pelukis berkenaan, sambil merakam kasih sayang dan kelemahan yang muncul apabila peranan antara penjaga dengan insan yang dijaga mula berubah. Menerusi imej simbolik, permukaan bertekstur dan tona warna yang lembut, karya seni ini menyelami jalinan antara sifat belas kasihan dan penderitaan, sambil meraikan ikatan kasih sayang abadi yang melangkaui kehilangan. Selain menampilkan kecemerlangan teknikal, karya seni ini turut menyentuh perasaan khalayak dan mengajak penonton merenungi tema-tema seperti penjagaan, kehibaan, serta hubungan sesama manusia.
 
Datuk Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, berkata, “Karya seni yang memenangi anugerah tahun ini, ‘She Waited’, memperlihatkan keupayaan seni untuk mengolah pengalaman yang amat peribadi menjadi kisah yang menyentuh hati kita semua. Tahun demi tahun, kami bukan sahaja berasa kagum dengan kualiti luar biasa bakat seni Malaysia, tetapi juga daripada perspektif yang merangsang pemikiran, dizahirkan melalui tema-tema seperti identiti, warisan, harapan dan daya tahan. Melalui UOB POY, kami berbangga untuk menyediakan platform bagi pelukis tempatan berkongsi kisah mereka, selain menunjukkan bagaimana seni mampu memupuk persefahaman, mencetuskan perbualan bermakna dan mengeratkan hubungan sesama komuniti.”
 
Sebagai pemenang 2026 UOB POY (Malaysia), Cik Lim akan menerima hadiah wang tunai RM100,000 dan mewakili Malaysia dalam pertandingan UOB POY Asia Tenggara. Dalam pertandingan tersebut, beliau akan bersaing dengan pemenang peringkat kebangsaan dari Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam. 

Majlis anugerah peringkat serantau akan diadakan di Singapura pada 28 Oktober 2026. Pemenang UOB POY Asia Tenggara akan menerima hadiah wang tunai S$13,000. Selain itu, semua pemenang negara berpeluang bersaing untuk menyertai program residensi pelukis di luar negara yang ditaja oleh UOB.
 
Puan Intan Rafiza, Ketua Hakim pertandingan 2026 UOB POY (Malaysia), berkata, “UOB POY tahun ini memberikan gambaran yang cukup menarik tentang kepelbagaian suara seni di Malaysia. Apa yang benar-benar menyentuh hati saya bukan sahaja kualiti karya seni yang dipersembahkan, tetapi keunikan pemikiran dan perspektif yang dizahirkan menerusinya. Setiap pelukis mencurahkan sesuatu yang amat peribadi ke atas kanvas, sekali gus menghidupkan kekayaan serta landskap seni kita yang terus berkembang. Saya tidak sabar melihat perkembangan suara-suara ini dan sumbangan mereka kepada masa depan seni Malaysia.”
 
Cik Harpreet Kaur menangi anugerah 2026 UOB Pelukis Harapan (Malaysia) di bawah Kategori Pelukis Baru
 
Dalam Kategori Pelukis Baru, Cik Harpreet Kaur telah merangkul anugerah Pelukis Harapan untuk karya seni media campuran beliau berjudul, ‘Matriarch’. Karya seni ini merupakan sebahagian daripada siri berterusan yang meneroka komuniti diaspora Sikh di Malaysia, di mana sejarah keluarga, pengalaman peribadi, dan penyelidikan sejarah digabungkan bagi mengangkat tema identiti, rasa kekitaan, dan daya ketahanan. Melalui gubahan bernuansa mimpi yang menampilkan ahli keluarga, simbol budaya, dan haiwan peliharaan kesayangan, ‘Matriarch’ meraikan keteguhan ikatan kekeluargaan dan budaya merentas generasi.
 
Pertandingan UOB POY bermula di Singapura pada 1982 sebelum diperluas ke Malaysia pada 2011. Kini, ia merupakan pertandingan seni yang paling lama dianjurkan di Singapura dan antara yang paling berprestij di Asia Tenggara, di samping menawarkan hadiah wang tunai tertinggi di Malaysia. Melalui pertandingan ini, UOB terus memperjuangkan bakat seni, memperkukuh ekosistem seni rantau ini, serta membuka peluang kepada para pelukis untuk meraih pengiktirafan, mengembangkan bakat dan mendapat pendedahan di peringkat serantau.

Kategori Pelukis Mapan (Malaysia)
NamaUmurAnugerahTajuk Karya SeniHadiah
Lim Tong Xin 
 
24Anugerah 2026 UOB Painting of the Year (Malaysia)She Waited 
 
RM 100,000 
Low Kar Lai 
 
37Anugerah Emas排排坐,吃果果 
(Come, Come, Sit, Eat First Lah) 
RM 45,000 
Binti 
 
28Anugerah PerakFunemployed: September 
 
RM 35,000 
Kim Ng 
 
61Anugerah GangsaWhat Remains of What Was Left Behind 
 
RM 22,000 
 
Kategori Pelukis Baru (Malaysia)
NamaUmurAnugerahTajuk Karya SeniHadiah
Harpreet Kaur 
 
47Anugerah Pelukis HarapanMatriarch 
 
RM 16,000 
Law Invent 
 
23Anugerah EmasUnnamed-2003 
 
RM 11,000 
Fung Yue Qian 
 
19Anugerah PerakBefore I Wake 
 
RM 8,000 
Nur Syamilla Binti Mohamed Sidek 
 
34Anugerah GangsaThe Monkey Scorns the Cage   
 
RM 6,000 
 
Klik sini untuk gambar: 
https://drive.google.com/drive/folders/1Lx77UopEyMW-F5tRnwkHptjyfrtyxytM?usp=sharing


SUMBER: UOB Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Yashwini Mohan
Brand, Media and Communications 
Tel: 6012 223 7050
Emel: yashwini.mohan@uob.com.my

Nama: Nizam Arop
Brand, Media and Communications 
Tel: 6017 333 6329
Emel: nizam.arop@uob.com.my

--BERNAMA 
Back to Home