20 usahawan asnaf berjaya menyelesaikan program pembangunan keusahawanan selama lapan bulan bagi meningkatkan keupayaan perniagaan dan pendapatan
KOTA BHARU, Kelantan, 10 Sept (Bernama) -- RHB Islamic Bank Berhad (“RHB Islamic”) telah meraikan kejayaan 20 usahawan asnaf yang telah tamat program MyREF HijrahPreneur Skills Program, sebuah program pembangunan keusahawanan yang disokong menerusi sumbangan berjumlah RM298,050.00.
Program selama lapan bulan itu dilaksanakan dengan kerjasama Malaysian Research & Education Foundation (“MyREF”), dengan sokongan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (“MAIK”) dalam mengenal pasti peserta asnaf yang layak. Kesemua peserta berasal dari Kota Bharu dan terdiri daripada 15 usahawan makanan dan minuman serta lima (5) usahawan dalam sektor bukan makanan.
Sepanjang program ini, peserta menjalani empat bulan latihan diikuti empat bulan bimbingan dan pemantauan bagi membantu mereka mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam perniagaan masing-masing. Prestasi perniagaan dan perkembangan pendapatan peserta turut dipantau bagi menilai kemajuan serta menyokong pembangunan perniagaan mereka.
Kemajuan awal program ini bagi tempoh Mac hingga Mei 2026 menunjukkan perkembangan yang positif apabila purata pendapatan bulanan peserta meningkat lebih daripada 15% dengan jumlah pendapatan kasar sebanyak RM190,976.21 direkodkan sepanjang tiga bulan pertama pemantauan.
Dato’ Adissadikin Ali, Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Berhad berkata, “Usaha memperkasa golongan asnaf perlu memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan yang dapat membantu mereka meningkatkan pendapatan dan menjadi lebih berdikari. Kami berharap, dengan sokongan dan peluang yang diberikan, mereka bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada bantuan zakat, malah pada suatu hari nanti berupaya menjadi pembayar zakat dan membantu golongan yang memerlukan.”
Latihan yang diberikan merangkumi tiga modul utama iaitu
Advanced Digital Entrepreneur Program (ADEP),
Business Management Programme (BMP) dan
Halal Training Program (HTP). Ketiga-tiga modul memberi tumpuan kepada pemasaran digital, penggunaan alat digital dan media sosial bagi tujuan promosi, pengurusan perniagaan serta keperluan keselamatan makanan, dengan matlamat membantu meningkatkan daya saing dan kemampanan perniagaan mereka.
En. Ts. Mohd Khairuddin Rais, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Research & Education Foundation berkata, “Program ini dirangka bukan sahaja untuk memberi latihan kepada peserta, tetapi juga memastikan mereka mendapat bimbingan dan pemantauan yang berterusan dalam mengembangkan perniagaan. Tempoh lapan bulan ini membolehkan kami melihat perkembangan peserta dengan lebih dekat, termasuk dari segi prestasi perniagaan dan pertumbuhan pendapatan.”
Pada hari yang sama, RHB Islamic turut menyalurkan zakat korporat berjumlah RM1 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (“MAIK”) bagi Tahun Kewangan Berakhir 2025. Penyerahan zakat tersebut berlangsung di Kompleks Islam Darul Naim dan diterima oleh Dato’ Haji Mohd Anis Hussein, Timbalan Yang Dipertua MAIK.
RHB Islamic akan terus memberi tumpuan kepada kewangan sosial Islam sebagai salah satu pendekatan untuk memperkasa golongan asnaf, meningkatkan keupayaan menjana pendapatan dan menyokong usaha mereka mencapai tahap kewangan yang lebih berdikari.
Dikeluarkan bagi pihak RHB Bank Berhad oleh Bahagian Komunikasi Korporat & Perhubungan Media.SUMBER: RHB Islamic Bank Berhad
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Media
Nama: Nishanthi Palani
Tel: 012-420 0812
Emel: nishanthi.palani@rhbgroup.com
Nama: Azim Daman
Tel: 017-380 9497
Emel: azim.daman@rhbgroup.com
Produk dan perkhidmatan RHB
Pusat Hubungan Pelanggan
Tel: 03–9206 8118
--BERNAMA