·
Pasukan UAE, Kinetiz, memenangi perlumbaan pertama A2RL di luar Abu Dhabi semasa ACI Racing Weekend yang berlangsung di Autodromo Internazionale Enzo e Dino Ferrari yang ikonik di Imola ·
Tonton perlumbaan tersebut DI SINI . IMOLA, Itali, 9 Sept (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Abu Dhabi Autonomous Racing League (A2RL) telah menyempurnakan perlumbaan berautonomi berbilang kereta yang pertama seumpamanya di Eropah di Litar Imola, Itali pada 5 September 2026, sebagai sebahagian daripada ACI Racing Weekend. Kinetiz (UAE) memenangi perlumbaan antarabangsa sulung Liga itu selepas mengharungi 12 pusingan di salah sebuah litar yang paling mencabar dari segi teknikal dalam dunia sukan permotoran.
Dianjurkan oleh ASPIRE, cabang cabaran besar Advanced Technology Research Council (ATRC) Abu Dhabi, A2RL menghimpunkan pemain utama daripada seluruh ekosistem mobiliti berautonomi Abu Dhabi, dengan pengawasan strategik daripada Smart and Autonomous Systems Council (SASC). A2RL telah berkembang daripada tapak ujian terbuka untuk AI dalam keadaan perlumbaan ekstrem kepada siri perlumbaan kompetitif. Imola menandakan lembaran antarabangsa pertama Liga itu selepas dua musim di Litar Yas Marina di Abu Dhabi, serta satu langkah ke arah cita-citanya untuk menjadi kejohanan antarabangsa pertama di dunia bagi kereta lumba berautonomi sepenuhnya.
Perlumbaan itu menghimpunkan lima kereta lumba berautonomi sepenuhnya, dengan Kinetiz (UAE) muncul sebagai pemenang, diikuti Constructor Racing (Jerman) di tempat kedua, PoliMOVE (Itali) di tempat ketiga, Unimore (Itali) di tempat keempat dan juara 2024 serta 2025, TUM (Jerman), menamatkan perlumbaan di tempat kelima. Setiap pasukan bersaing menggunakan perkakasan EAV-25 yang sama, menjadikan perbezaan prestasi bergantung pada perisian: persepsi, perancangan, kawalan dan pembuatan keputusan masa nyata.
Juara A2RL dua kali berturut-turut, TUM, menyaksikan rentetan kemenangannya berakhir selepas mengalami masalah teknikal pada pusingan formasi, menyebabkan keretanya kembali ke lorong pit sebelum perlumbaan dimulakan secara bergerak.
Pusingan terpantas dicatatkan oleh pemegang petak utama dan pendahulu perlumbaan, Unimore, dengan masa 1 minit 40 saat sebelum kereta itu mengalami masalah teknikal dan terhenti secara mendadak. PoliMOVE yang mengekorinya rapat, yang mencatatkan kelajuan tertinggi perlumbaan pada 252.3 km/j dan berlumba dalam jarak kurang daripada satu saat di belakang pendahulu sejak awal perlumbaan, tidak dapat mengelak daripada melanggar kereta Unimore yang memperlahankan kenderaan secara mendadak lalu merempuh bahagian belakangnya, sekali gus menamatkan perlumbaan kedua-dua pasukan secara tiba-tiba. Insiden itu membolehkan Kinetiz mengambil alih kedudukan pendahulu dan mengekalkannya sehingga bendera penamat dikibarkan.
T.Y.T. Faisal al Bannai, Setiausaha Agung Advanced Technology Research Council, berkata: “A2RL mencerminkan pendekatan Abu Dhabi terhadap teknologi termaju: menetapkan cabaran yang bercita-cita tinggi, menghimpunkan minda terbaik dan mewujudkan keadaan yang mempercepat kemajuan. Imola menguji pendekatan tersebut, dengan lima kereta berautonomi mengharungi ketidakpastian dan tekanan dalam perlumbaan sebenar. Kemenangan Kinetiz menandakan detik penting bagi UAE, manakala nilai yang lebih luas terletak pada perkara yang didedahkan oleh perlumbaan ini tentang kebolehpercayaan, daya tahan dan pembuatan keputusan masa nyata. Cerapan ini akan membantu memajukan sistem berautonomi jauh melangkaui dunia perlumbaan.”
Stephane Timpano, Ketua Pegawai Eksekutif ASPIRE, berkata: “Tahniah kepada pasukan Kinetiz dari UAE atas kemenangan yang sememangnya layak mereka raih. Imola meningkatkan tahap cabaran dengan menuntut sistem berautonomi berlumba rapat roda ke roda dalam persekitaran yang sama sekali berbeza, sekali gus menghasilkan data berharga untuk mempercepat peringkat R&D seterusnya. Apa yang kami saksikan di sini memberikan ukuran baharu tentang prestasi dan keupayaan sistem ini untuk menyesuaikan diri di bawah tekanan.”
Ujian Sebenar Keupayaan Perlumbaan BerautonomiDengan perubahan aras ketinggian, laluan perlumbaan yang sempit, kawasan pelepasan yang terhad dan zon memotong yang mencabar, Imola menguji cara sistem berautonomi mengurus cengkaman, trafik, kedudukan dan aksi memotong di bawah tekanan berterusan. Perlumbaan itu memerlukan AI untuk terus bertindak balas terhadap pesaing lain, menentukan masa untuk menyerang, bertahan dan menyesuaikan trajektori yang telah dirancang mengikut perkembangan perlumbaan.
Omar Hanif Alqassim, Prinsipal Pasukan Kinetiz, berkata: “Ini merupakan detik yang amat membanggakan bagi kami semua di Kinetiz kerana memenangi perlumbaan antarabangsa pertama A2RL dan, yang paling penting, mewakili UAE di pentas antarabangsa. Pasukan telah bekerja keras untuk mencapai kejayaan ini dan melihat segala usaha tersebut membuahkan kemenangan menjadikannya lebih istimewa. Perlumbaan ini berlangsung dengan hebat dan dianjurkan dengan sangat baik oleh ASPIRE, yang telah mewujudkan platform kukuh untuk mempamerkan pencapaian UAE dalam teknologi berautonomi. Kami berbangga membawa pulang kemenangan ini dan menjadi sebahagian daripada usaha mewakili cita-cita serta keupayaan UAE di pentas global.”
Perjalanan Menuju ImolaMenjelang perlumbaan, pasukan membuat persediaan menerusi tempoh ujian fizikal yang padat selama hanya sembilan hari dalam pelbagai keadaan, termasuk hujan dan, pada satu ketika, hujan batu. Kit cuaca basah yang baharu dipasang membolehkan kelima-lima pasukan menjalankan ujian, dengan keseluruhannya melengkapkan 38 pusingan.
Bagi melengkapkan ujian fizikal dan memberi peluang kepada pasukan untuk mempertingkat kod mereka, Sim Sprint A2RL kembali pada musim ini dengan menggunakan kembar digital berketepatan tinggi termasuk Yas Marina, A2RL Autodrome, Suzuka dan Imola untuk membangunkan serta mengesahkan algoritma mereka.
Alessandro Tucci, Pengarah Eksekutif, House of Grand Challenges di ASPIRE, berkata: “Prestasi yang ditunjukkan oleh pasukan semasa perlumbaan merupakan hasil daripada strategi pembangunan yang jelas, dibina berasaskan lebih 5,000 jam ujian simulasi dan perlumbaan pada 2025. Berlumba di Imola merupakan langkah asas dalam evolusi A2RL dan kami berbangga dengan pencapaian pasukan serta organisasi A2RL. Membawa segala persediaan tersebut ke litar seperti Imola merupakan cara kami terus meningkatkan standard persaingan A2RL.”
Langkah Seterusnya untuk A2RLA2RL akan kembali ke Litar Yas Marina untuk perlumbaan seterusnya. Sebagai gelanggang utama A2RL sejak pelancarannya pada 2024, Litar Yas Marina kekal sebagai lokasi penanda aras bagi evolusi berterusan Liga itu.
Pengajaran daripada Imola kini akan disalurkan semula ke dalam program R&D di Abu Dhabi. Pengujian sistem berautonomi di litar dengan susun atur dan ciri perlumbaan yang sangat berbeza memberikan ukuran yang lebih kukuh terhadap keupayaan sistem tersebut untuk menyesuaikan diri, sambil meneruskan peranan A2RL sebagai tapak ujian terbuka untuk teknologi berautonomi dan mengukuhkan kedudukan Abu Dhabi sebagai hab bagi AI gunaan serta inovasi sistem berautonomi.
Siri 2026 direalisasikan dengan sokongan SteerAI, bersama rakan kongsi utama AD Ports dan du Infra; rakan kongsi rasmi AWS, Abu Dhabi Mobility dan Abu Dhabi Gaming; penyokong rasmi HP dan Castore; serta rakan kongsi teknikal PACETEQ dan Live in Five.
Tonton perlumbaan di sini:
https://www.youtube.com/watch?v=VSdCF_yR3L4 *Sumber: AETOSWireTeks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.
Galeri Multimedia/Foto Sedia Ada:
https://www.businesswire.com/news/home/20260907943650/enContacts Thushara Mohanan
thushara.mohanan@tii.aeComms@a2rl.ioSumber: Abu Dhabi Autonomous Racing League
--BERNAMA