KUANTAN, Pahang, Sept 8 (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terus memperkukuh usaha menarik dan memudah cara pelaburan ke Wilayah Pantai Timur menerusi kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu serta lebih 10 agensi Kerajaan, bagi membuka lebih banyak peluang kepada pelabur dan syarikat tempatan.
Usaha ini diketengahkan menerusi Seminar Pelaburan Wilayah Pantai Timur 2026 bertemakan “Memacu Pembangunan Pelaburan dan Bumiputera di Koridor Pantai Timur”, yang berlangsung di AC Hotel by Mariott, Kuantan hari ini dan menghimpunkan lebih 400 peserta terdiri daripada syarikat tempatan, termasuk PKS dan Bumiputera, syarikat mid-tier, pelabur, pemain industri, institusi kewangan serta agensi Kerajaan.
Penyertaan pelbagai agensi strategik menerusi seminar dan sesi Klinik Perniagaan mencerminkan pendekatan menyeluruh kerajaan dalam menyediakan fasilitasi yang lebih komprehensif, termasuk membantu komuniti perniagaan menangani isu berkaitan kelulusan dan pelaksanaan projek, operasi perniagaan, utiliti, tenaga kerja dan percukaian.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, dalam ucaptama di seminar tersebut berkata, “Kehadiran pelabur, syarikat tempatan dan agensi Kerajaan di bawah satu bumbung pada hari ini mencerminkan komitmen bersama untuk mengetengahkan dan merealisasikan peluang pelaburan serta memperkukuh ekosistem industri di Wilayah Pantai Timur. Dari 2021 hingga Jun 2026, Pahang, Kelantan dan Terengganu merekodkan RM61.4 bilion pelaburan diluluskan, melibatkan 1,746 projek dan dijangka mewujudkan lebih 30,000 peluang pekerjaan. Ini menunjukkan potensi serta peluang pelaburan yang luas kepada para pelabur asing dan domestik di Wilayah Pantai Timur.
MIDA akan terus mempergiat usaha mengetengahkan peluang pelaburan di Pantai Timur, dengan sokongan berterusan agensi Kerajaan untuk merealisasikan minat dan hasrat pelaburan serta memastikan pembangunan di wilayah ini terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang lebih inklusif dan seimbang, selaras dengan aspirasi Kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.
YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Kewangan, Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli negeri berkata, Terengganu dan Wilayah Pantai Timur mempunyai potensi yang besar untuk menarik pelaburan baharu, khususnya dalam sektor bernilai tinggi.
“Wilayah Pantai Timur berpotensi berkembang sebagai koridor ekonomi dan pelaburan yang lebih berdaya saing, disokong oleh pembangunan infrastruktur strategik termasuk ECRL. Terengganu akan terus memperkukuh kerjasama dengan MIDA bagi menarik pelaburan berkualiti dalam sektor bernilai tinggi, di samping memastikan limpahan pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati oleh rakyat serta membuka lebih banyak peluang kepada syarikat dan usahawan tempatan.”
Bagi Pahang, kekuatan ekosistem industri dan infrastruktur sedia ada terus menyediakan asas kukuh untuk menarik pelaburan bernilai tinggi.
YB Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, berkata:
“Pahang mempunyai ekosistem industri dan infrastruktur yang kukuh, termasuk Pelabuhan Kuantan serta kawasan perindustrian sedia ada. InvestPahang juga sentiasa mencari ruang untuk menambah baik proses dan mempercepatkan kelulusan dalam konteks
‘ease of doing business’. Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan MIDA untuk menarik pelaburan bernilai tinggi dan memperluas peluang kepada syarikat tempatan.”
Sementara itu,
YB Dato' Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan Negeri Kelantan berkata kedudukan strategik Kelantan membuka peluang untuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan serantau.
“Kedudukan Kelantan sebagai gerbang perdagangan dengan Thailand serta kekuatan dalam sektor halal, industri berasaskan sumber dan logistik menawarkan peluang baharu kepada pelabur. Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan MIDA untuk menarik pelaburan dan memperkukuh penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem pelaburan.”
ECRL PEMANGKIN PELABURAN WILAYAH PANTAI TIMURAntara tumpuan utama perbincangan seminar ialah peranan
East Coast Rail Link (ECRL) sebagai pemangkin pertumbuhan pelaburan di Wilayah Pantai Timur. ECRL, yang dijangka mula beroperasi pada
Januari 2027, bakal meningkatkan kesalinghubungan, kecekapan logistik serta akses kepada pasaran dan rantaian bekalan.
Perkembangan ini dijangka membuka ruang kepada aktiviti baharu di sepanjang koridor ECRL, termasuk hab logistik, pembangunan berorientasikan transit dan kargo serta projek industri dan ekonomi berkaitan.
MIDA akan terus bekerjasama dengan Kerajaan-kerajaan Negeri dan agensi berkaitan bagi mengenal pasti serta memudah cara peluang pelaburan yang dapat memanfaatkan pembangunan ECRL, di samping memperluas penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan.
MEMPERLUAS PELUANG KEPADA SYARIKAT TEMPATANMenerusi seminar ini, MIDA menegaskan tumpuannya untuk memastikan pelaburan asing dan domestik menghasilkan limpahan kepada ekosistem tempatan, termasuk peluang dalam bidang pembekalan, logistik, penyelenggaraan, perkhidmatan teknikal, pemprosesan dan komponen.
Turut diadakan ialah sesi Apresiasi dan
Showcase Pra-Penyenaraian yang mengiktiraf dua syarikat tempatan, iaitu
FDI Group dari Pahang dan
Upstream Downstream Process & Services Sdn. Bhd. dari Terengganu. Inisiatif ini berhasrat menggalakkan PKS dan syarikat mid-tier meneroka peluang IPO, meningkatkan kesedaran akses kepada pasaran modal sebagai sumber pertumbuhan, selain menjadi
role model untuk syarikat-syarikat di Wilayah Pantai Timur.
Usaha ini turut diperkukuh menerusi inisiatif
#investlokal yang diketengahkan MIDA, iaitu memperkukuh pelaburan domestik dan mengekalkan bakat tempatan supaya rakyat di wilayah ini terus berpeluang menyumbang kepada pertumbuhan di negeri-negeri Pantai Timur.
Dalam sesi Bicara Inspirasi pula, keupayaan syarikat tempatan seperti
Ain Medicare Sdn. Bhd. dari Kelantan dan
Elektro Serve (Malaysia) Sdn. Bhd. dari Terengganu turut diketengahkan sebagai contoh potensi syarikat tempatan untuk berkembang ke sektor bernilai tinggi dan pasaran lebih luas.
Menerusi
sesi Klinik Perniagaan, lebih 10 agensi Kerajaan menyediakan akses terus kepada komuniti perniagaan dan pelabur. Lebih
70 syarikat telah mendapatkan khidmat fasilitasi meliputi aspek kelulusan, operasi, utiliti, tenaga kerja, cukai dan pelaksanaan projek.
MIDA akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu serta agensi strategik bagi memastikan Pantai Timur terus berkembang sebagai
destinasi pelaburan yang berdaya saing, inklusif dan bernilai tinggi, di samping memperluas manfaat pertumbuhan kepada syarikat tempatan dan usahawan Bumiputera.
Mengenai MIDAMIDA adalah agensi promosi dan pembangunan pelaburan utama Kerajaan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menyelaras dan menggalakkan pelaburan ke dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia. Beribu pejabat di Kuala Lumpur Sentral, MIDA mempunyai 12 pejabat wilayah dan 20 pejabat luar negara. MIDA terus menjadi rakan strategik bagi perniagaan dalam merebut peluang yang timbul dari revolusi teknologi pada era masa kini. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari
www.mida.gov.my/ dan ikuti kami di saluran on
X, Instagram, Facebook, LinkedIn, TikTok dan
YouTube.SUMBER: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
MIDA
Nama: Rozita Ibrahim
Pengarah, Bahagian Pelaburan Tempatan, MIDA
Emel: rozita@mida.gov.my
Tel: +603-2267 3479
--BERNAMA