KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Malaysia menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara rasminya memulakan penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN ke-17 dan Mesyuarat Berkaitan (17th ASEAN Health Ministers’ Meeting (AHMM) and Related Meetings) yang berlangsung dari 7 hingga 11 September 2026 di Kuala Lumpur. Persidangan lima hari ini membuka tirai secara rasminya menerusi Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Kesihatan (SOM), sebelum acara kemuncak yang melibatkan para Menteri Kesihatan berlangsung bermula 9 September ini.
Penganjuran AHMM ke-17 ini melakar sejarah tersendiri apabila Malaysia kembali menjadi tuan rumah selepas kali terakhir menganjurkannya 22 tahun yang lalu, pada tahun 2004. Membawa tema "Healthy ASEAN: Together Towards Equitable, Future-Ready Health Systems", persidangan dwitahunan ini diterajui oleh Malaysia selaku Pengerusi dengan Myanmar sebagai Naib Pengerusi.
Penyertaan kali ini menandakan fasa baharu diplomasi kesihatan negara yang beralih daripada sekadar penggubalan polisi, kepada penterjemahan tindakan yang membawa hasil nyata. Sepanjang lima hari penganjuran, perbincangan akan tertumpu kepada pembinaan sistem kesihatan serantau yang saksama dan berdaya tahan bersama Rakan Dialog Antarabangsa serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Tumpuan strategik AHMM ke-17 merangkumi pencapaian objektif utama berikut:
• Pelancaran Agenda Kesihatan Strategik ASEAN (ASHA) 2026–2030 sebagai pelan hala tuju utama kesihatan serantau.
• Pengukuhan Kesiapsiagaan Pandemik menerusi pengoperasian Pusat Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Kemunculan Baharu ASEAN (ACPHEED).
• Merangka Strategi Bersepadu bagi menangani ancaman beban dwi-penyakit; iaitu penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit (NCD) di rantau ini.
Kepimpinan intelektual Malaysia di persada serantau turut dizahirkan melalui penganjuran beberapa acara sampingan (side events) tematik di sela-sela persidangan bagi memperincikan pelbagai isu kesihatan serantau. Ini termasuk Penyakit Jarang Jumpa (rare diseases), Inisiatif Kesihatan Mata (MySPECS), Penyelidikan Inisiatif Ubat-Ubatan untuk Penyakit Terabai (DNDi), Inisiatif Kesihatan Paru-Paru, Behavioural Insights, serta inisiatif Kawal Selia Peranti Perubatan Serantau.
Penganjuran pusingan ini juga melakar peristiwa bersejarah menerusi pelaksanaan Mesyuarat Sulung Menteri Kesihatan ASEAN–Amerika Syarikat (A.S.) dan ASEAN–Jepun. Platform diplomasi antarabangsa ini turut dimanfaatkan sepenuhnya menerusi mesyuarat peringkat menteri bersama rakan dialog iaitu China, Republik Korea (ROK), dan WHO bagi memperluas kerjasama teknikal serta pelaburan kesihatan serantau.
Kesemua inisiatif dan kerangka dasar yang dibincangkan mencerminkan komitmen teguh Malaysia di bawah kerangka Malaysia MADANI, serta muafakat negara-negara anggota ASEAN dalam memastikan perkhidmatan kesihatan awam kekal inklusif dan mampan. Resolusi persidangan ini disasarkan untuk diterjemahkan kepada tindakan nyata yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan lebih 670 juta rakyat di rantau ASEAN.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
07 SEPTEMBER 2026
SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Effaizah binti Shahidan
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3478 / 012-3417379
Faks : +603-8888 6187
--BERNAMA