Mengiktiraf Destinasi Pelancongan Paling Luar Biasa di Dunia: Pencalonan Kini Dibuka untuk Anugerah TOURISE Kali Kedua

Released on: Friday, 04 Sep 2026 4:56PM

Table
Mengiktiraf Destinasi Pelancongan Paling Luar Biasa di Dunia: Pencalonan Kini Dibuka untuk Anugerah TOURISE Kali Kedua  

·  Anugerah TOURISE mengetengahkan destinasi paling berpengaruh di seluruh dunia, dengan menonjolkan kekayaan budaya, kekuatan hubungan sesama manusia dan kemajuan terobosan dalam bidang pelancongan.
·  Enam kategori dibuka untuk pencalonan, termasuk anugerah baharu bagi Destinasi Kesihatan dan Kesejahteraan Terbaik, serta anugerah utama Destinasi Terbaik Keseluruhan yang dipilih oleh panel juri.
·  Para pemenang akan diraikan pada majlis Anugerah TOURISE yang diadakan bersempena dengan TOURISE Summit di Riyadh pada 23–25 Mac 2027.
 
RIYADH, Arab Saudi, 4 Sept (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Pusingan kedua Anugerah TOURISE dilancarkan secara rasmi hari ini, meneruskan peranannya sebagai penanda aras global yang mengiktiraf destinasi pelancongan terkemuka. Anugerah TOURISE menetapkan penanda aras global baharu pada 2025 dengan mengiktiraf destinasi yang menawarkan pengalaman pelancongan tersendiri dan berteraskan tujuan. Pada 2027, TOURISE akan meraikan destinasi yang membentuk masa depan pelancongan, memberikan nilai sepanjang keseluruhan perjalanan, selaras dengan tujuan pengembara serta menetapkan piawaian global baharu tentang cara dunia mengembara, berhubung dan berkembang. Pencalonan kini dibuka kepada orang awam dari 1 September hingga 19 November 2026.

Anugerah TOURISE menampilkan enam kategori anugerah khusus: Destinasi Seni dan Budaya Terbaik, Destinasi Pengembaraan Terbaik, Destinasi Makanan dan Kulinari Terbaik, Destinasi Membeli-belah Terbaik, Destinasi Hiburan Terbaik serta kategori baharu, Destinasi Kesihatan dan Kesejahteraan Terbaik. Secara keseluruhannya, kategori ini mencerminkan keseluruhan perjalanan pengembara dan cara destinasi terus berkembang dalam mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan bermakna. Selain itu, anugerah utama Destinasi Terbaik Keseluruhan akan mengiktiraf destinasi yang cemerlang dalam semua aspek pengalaman pengembara serta menetapkan penanda aras global sebagai tempat paling luar biasa untuk dikunjungi.

Selaras dengan etos TOURISE, Anugerah ini mengiktiraf destinasi yang mempunyai identiti kukuh, impak yang boleh diukur dan pengurusan yang bertanggungjawab. Destinasi yang layak mestilah mempunyai (i) skop geografi yang ditetapkan, iaitu bandar, wilayah atau tapak; (ii) identiti dan karakter tersendiri yang berpunca daripada budaya, landskap dan tarikan yang membentuk persepsi pengembara terhadap destinasi tersebut; dan akhirnya, (iii) disokong oleh badan tadbir urus pelancongan yang bertanggungjawab memastikan destinasi tersebut diuruskan secara berkesan.

Tuan Yang Terutama Ahmed Al-Khateeb, Menteri Pelancongan Arab Saudi dan Pengerusi TOURISE, berkata:“Mengiktiraf kecemerlangan menerusi Anugerah TOURISE bukan sekadar satu bentuk meraikan pencapaian, sebaliknya merupakan langkah penting dalam membentuk masa depan pelancongan global. Anugerah ini memberi perhatian kepada destinasi pelancongan terkemuka yang bukan sahaja memikat pengembara dengan pengalaman unik, malah menerajui inovasi, kemampanan dan keaslian budaya. Dalam dunia yang menyaksikan pelancongan menjadi pemangkin berkuasa kepada pertumbuhan ekonomi, pertukaran budaya dan pemerkasaan komuniti, adalah penting untuk kita mengiktiraf destinasi yang menetapkan piawaian baharu bagi kecemerlangan dan tujuan.”

Penilaian Anugerah TOURISE akan dilaksanakan oleh sebuah panel juri bebas yang membariskan tokoh perintis berpengaruh merentas industri daripada sektor pengembaraan dan pelancongan, fesyen, kulinari, seni, peruncitan, budaya, pengembaraan lasak serta hiburan:

·  Albert Read – Bekas Pengarah Urusan, Condé Nast
·  Filip Boyen – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Forbes Travel Guide
·  Bernold Schroeder – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Kempinski Hotels
·  Fiona Jeffery – Bekas Pengerusi, World Travel Market; Bekas Pengerusi, Tourism for Tomorrow
·  Michael Ellis – Bekas Pengarah Global, Michelin Guides
·  Omar Samra – Duta Muhibah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); Pendaki Gunung dan Penjelajah Kutub
·  Renaud de Lesquen – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Givenchy; Bekas Presiden, Dior Americas
·  Lars Nittve – Bekas Pengarah Pengasas, Tate Modern
·  Caroline Rush – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif, British Fashion Council
·  Andrew Gibson – Bekas Naib Presiden Kesejahteraan Global, Accor Hotels 

Pengerusi Panel Juri merangkap Ketua Kategori, Albert Read, berkata: “Menjadi sebahagian daripada Anugerah TOURISE merupakan satu penghormatan. Menerusi proses penilaian yang ketat serta barisan juri berkaliber, Anugerah TOURISE telah menetapkan penanda aras baharu dalam mengiktiraf peneraju sektor pelancongan. Menerusi edisi kedua anugerah ini, TOURISE berpeluang melangkah lebih jauh sekali lagi mengiktiraf destinasi paling cemerlang tahun ini dan, yang lebih penting, menjejaki perkembangan destinasi berkenaan dari semasa ke semasa. Langkah ini akan membentuk ukuran muktamad bagi menilai impak, kemajuan dan kejayaan jangka panjang dalam sektor pelancongan global.”

Destinasi dinilai berdasarkan 14 kriteria penilaian, termasuk keaslian, kebolehcapaian, keselamatan, kemampanan dan pengalaman pelawat. Para juri akan menilai faktor yang menjadikan sesebuah destinasi menonjol dalam kategori pencalonannya, selain meneliti pematuhannya terhadap piawaian sejagat yang perlu dipenuhi oleh setiap destinasi unggul.

Selepas tamat tempoh pencalonan awam, senarai pendek destinasi akan disediakan bagi setiap kategori. Daripada senarai itu, satu pemenang dan dua finalis cemerlang akan dipilih oleh panel juri. Para pemenang akan diberi penghormatan pada majlis Anugerah TOURISE yang berlangsung bersempena Sidang Kemuncak TOURISE di Riyadh pada 23 Mac 2027.

Suarakan pilihan anda dalam menentukan penerima Anugerah TOURISE bagi destinasi pelancongan paling luar biasa di dunia dengan mencalonkan destinasi yang pada pandangan anda membawa perubahan menerusi portal anugerah https://awards.tourise.com/ selewat-lewatnya pada 19 November.

Maklumat tentang TOURISE

TOURISE ialah platform utama dunia yang mentakrif semula dan membentuk masa depan sektor pelancongan. Diterajui Kementerian Pelancongan Arab Saudi, Sidang Kemuncak TOURISE yang julung kali diadakan berlangsung dari 11 hingga 13 November 2025 di Riyadh. TOURISE menghimpunkan tokoh berwawasan daripada sektor kerajaan, perniagaan, pelaburan, pelancongan dan teknologi bagi melaksanakan inisiatif berimpak tinggi serta memeterai perjanjian transformatif yang akan mencorak semula industri, selain membangunkan sektor pelancongan yang mampan, saksama dan berorientasikan masa depan. Sebagai platform global yang beroperasi sepanjang tahun, TOURISE menerajui wacana global mengenai sektor pengembaraan dan pelancongan, di samping menghimpunkan pemimpin yang berkongsi visi untuk membentuk ekonomi pengembara. Di sinilah hala tuju pelancongan bagi tempoh 50 tahun akan datang dibentuk.

Untuk maklumat lanjut tentang TOURISE, lawati www.TOURISE.com

Maklumat tentang Anugerah TOURISE:

Anugerah TOURISE ialah pengiktirafan global terhadap kecemerlangan destinasi, yang mengiktiraf lokasi yang menawarkan pengalaman perjalanan bermakna, tidak dapat dilupakan dan selaras dengan jangkaan pengembara masa kini yang sentiasa berkembang. Dinilai oleh panel juri berprestij merentas sektor, anugerah itu memberikan penghormatan kepada destinasi dalam enam kategori - Seni & Budaya, Pengembaraan Lasak, Makanan & Kulinari, Beli-belah, Hiburan dan Kesejahteraan - dengan kemuncaknya ialah anugerah utama Destinasi Terbaik Keseluruhan. Kini memasuki edisi kedua, Anugerah TOURISE terus mengetengahkan inovasi, kemampanan, pemeliharaan budaya dan impak terhadap pelawat, sekali gus menetapkan piawaian global baharu mengenai ciri yang menjadikan sesebuah destinasi benar-benar luar biasa.

Ketahui lebih lanjut tentang Anugerah TOURISE di TOURISE.com/awards

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.
 
Galeri Multimedia/Foto Sedia Ada:
https://www.businesswire.com/news/home/20260901221901/en

Contacts

Untuk maklumat lanjut hubungi: media@TOURISE.com
 
Sumber: TOURISE

--BERNAMA 
Back to Home