PATANCI: Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan
•
Pendapatan naik 13% suku ke suku kepada RM7.9 bilion, didorong oleh peningkatan purata harga produk merentas portfolio komoditi dan bahan kimia khusus, serta sumbangan yang lebih tinggi daripada aktiviti perolehan strategik dan perdagangan
•
Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) meningkat RM143 juta kepada RM1.3 bilion, disokong oleh
spread produk yang lebih kukuh serta sumbangan daripada inisiatif penciptaan nilai dan pengoptimuman kos.
•
Keuntungan Selepas Cukai (PAT) meningkat kepada RM445 juta, disokong oleh EBITDA yang lebih tinggi walaupun terdapat perosotan nilai sebanyak RM88 juta bagi projek yang sedang dilaksanakan.
• Dividen interim sebanyak 6 sen sesaham telah diisytiharkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Dividen berjumlah RM480 juta akan dibayar pada September 2026.
Prestasi Portfolio Komoditi Segmen Baja & Metanol (F&M) Kumpulan mencatatkan kadar penggunaan loji yang lebih rendah sebanyak 80% berikutan pelaksanaan aktiviti penyelenggaraan berjadual di ASEAN Bintulu Fertilizer Sdn. Bhd. dan PETRONAS Chemicals Ammonia Sdn. Bhd. di Kertih. Walaupun kadar operasi lebih rendah, purata harga produk meningkat lebih daripada 50% suku ke suku, disokong oleh bekalan global yang lebih ketat susulan konflik di Asia Barat. Sehubungan itu, hasil segmen meningkat 38% kepada RM3.7 bilion, manakala EBITDA bertambah baik kepada RM1.2 bilion, didorong oleh
spread produk yang lebih kukuh serta sumbangan yang lebih tinggi daripada aktiviti perolehan strategik dan perdagangan.
Segmen Olefin & Derivatif (O&D) mencatatkan kadar penggunaan loji yang lebih rendah sebanyak 56%, terjejas terutamanya oleh aktiviti penyelenggaraan berjadual berskala besar yang dilaksanakan di beberapa kemudahan dalam Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih (KIPC). Sehubungan itu, pendapatan menurun 7% suku ke suku kepada RM2.7 bilion berikutan pengurangan jumlah jualan.
Walau bagaimanapun, impak tersebut sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan 37% dalam purata harga produk susulan kekangan bekalan stok suapan. Segmen ini kembali merekodkan EBITDA positif sebanyak RM22 juta didorong oleh
spread produk purata yang lebih kukuh.
Bahan Kimia Khusus Segmen Bahan Kimia Khusus mencatatkan margin sumbangan yang lebih tinggi merentas portfolio, disokong oleh peningkatan harga produk serta usaha pengoptimuman kos yang berterusan walaupun permintaan pasaran kekal lemah. EBITDA bagaimanapun menurun kepada RM140 juta, terutamanya disebabkan keuntungan daripada penjualan hak pelepasan yang diiktiraf pada suku pertama 2026.
Mazuin Ismail, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG berkata: “Suku kedua 2026 merupakan tempoh yang mencabar dari segi operasi memandangkan kami melaksanakan aktiviti penyelenggaraan berjadual berskala besar di beberapa kemudahan di KIPC dan loji urea di Bintulu. Kami terus mengekalkan komitmen terhadap operasi yang selamat dan boleh dipercayai dengan berjaya menyelesaikan semua aktiviti penyelenggaraan tanpa sebarang insiden kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) utama.
Walaupun jumlah jualan lebih rendah, PCG mencatat prestasi kewangan yang lebih baik, disokong oleh purata
spread produk yang lebih tinggi, susulan konflik berpanjangan di Asia Barat. Kami memanfaatkan peluang pasaran dengan mengutamakan pelanggan domestik dan serantau, mengoptimumkan peluang jualan spot serta memanfaatkan aktiviti perolehan strategik dan perdagangan bagi memperkukuh pendapatan.
Selain itu, inisiatif penciptaan nilai dan pengoptimuman kos kami telah menyumbang sebanyak RM324 juta kepada EBITDA bagi tahun semasa setakat ini, mencerminkan disiplin berterusan dalam mengurus kos dan mengoptimumkan margin, di samping keutamaan strategik terhadap daya saing jangka panjang PCG berbanding keuntungan jangka pendek.
Melangkah ke hadapan, kami akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan yang selamat, disiplin operasi dan daya tahan perniagaan ketika kami bersiap sedia untuk satu lagi aktiviti penyelenggaraan berjadual berskala besar di Loji 2 PETRONAS Chemicals Methanol Sdn. Bhd., di samping meneruskan usaha meningkatkan kadar operasi Pengerang Petrochemical Company pada suku ketiga.”
Prospek Masa Depan Persekitaran operasi pada tahun 2026 dijangka terus mencabar, dipengaruhi oleh ketidaktentuan geopolitik, perubahan dasar perdagangan serta ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan. Kumpulan akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan melaksanakan langkah yang bersesuaian bagi mengurus portfolio serta prestasi operasinya.
Segmen O&D dijangka kekal stabil, dengan harga terutamanya dipengaruhi oleh pergerakan kos stok suapan dan kadar operasi pengeluar dalam keadaan lebihan bekalan serantau yang berterusan serta persaingan pasaran yang sengit. Pasaran baja dijangka kekal menggalakkan, disokong oleh keperluan keselamatan makanan global, keadaan bekalan yang ketat serta permintaan import yang berterusan daripada pasaran utama seperti India dan Australia. Harga metanol pula dijangka kekal stabil berasaskan asas penawaran dan permintaan yang seimbang walaupun berdepan potensi turun naik permintaan serantau.
Kumpulan kekal berwaspada terhadap segmen Bahan Kimia Khusus berikutan pasaran akhir pembinaan dan automotif yang masih lemah, walaupun permintaan bagi barangan pengguna menunjukkan pertumbuhan sederhana.
Mengenai PETRONAS Chemicals Group Berhad PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terkemuka di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara dari segi kapasiti. Syarikat ini mengendalikan rangkaian tapak pengeluaran bertaraf dunia di seluruh Malaysia, Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara dengan jumlah kapasiti pengeluaran gabungan sebanyak 16.8 juta metrik tan setahun (mtpa).
PCG terlibat dalam aktiviti pembuatan, pemasaran dan penjualan pelbagai jenis produk kimia, termasuk olefin, polimer, baja, metanol, bahan kimia asas lain, produk terbitan serta bahan kimia khusus.
Disenaraikan di Bursa Malaysia dengan pengalaman lebih daripada empat dekad dalam industri bahan kimia, PCG telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan PETRONAS untuk memaksimumkan nilai daripada sumber gas asli Malaysia.
PCG komited untuk memastikan amalan perniagaannya selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat gloval bagi amalan Ekonomi, Alam Sekitar, Sosial (EESG), seperti yang dibuktikan melalui penyertaan berterusan dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia.
Maklumat lanjut berkenaan PCG boleh didapati di
www.petronas.com/pcg Sila klik di sini untuk foto:https://drive.google.com/drive/folders/1XqJ0o_ddplDTsbwKhTRugehub56RQe-t?usp=sharingSUMBER: PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG)UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Gary Khoo Tse-Yau
Jabatan Komunikasi Korporat
PETRONAS CHEMICALS GROUP BERHAD (PCG)
Tel: (6) 013 932 9280
E-mel: khoo.tseyau@petronas.com
--BERNAMA