PERLIS, 3 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) mengadakan Sesi Jelajah Mesra bersempena Festival Kraf Utara (FKU) 2026 yang sedang berlangsung pada 23 Julai hingga 3 Ogos 2026 mulai jam 10.00 pagi sehingga 10.00 malam bertempat di Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis.
Sesi Jelajah Mesra ini disempurnakan oleh Yang Berhormat Datin Marzita binti Mansor, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis yang mewakili Yang Amat Berhormat Tuan Abu Bakar bin Hamzah, Menteri Besar Perlis. Diiringi oleh, Yang Berbahagia Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Yang Berusaha Encik Abdul Halim bin Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia.
Bersempena Sesi Jelajah Mesra ini, tetamu kehormat berkesempatan meluangkan masa melawat serta menyantuni para usahawan dan komuniti kraf yang terlibat di reruai Jualan Kraf, Demonstrasi dan Interaktif Kraf, Pameran Produk Kraf Baharu (Identiti Negeri Utara) serta Pameran Institut Kraf Negara (IKN).
Sebelum itu, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis telah melepaskan peserta Perlis Culture Ride yang disertai seramai 151 orang peserta berbasikal menuju ke Homestay Komuniti Kampung Rama dan Chalet Kurong Tegar. Kehadiran peserta disambut dengan pelbagai aktiviti kesenian termasuk Persembahan Kebudayaan serta Demonstrasi Makanan dan Permainan Tradisional. Aktiviti ini diadakan bersempena FKU 2026 yang diselaraskan oleh MOTAC Perlis.
FKU 2026 yang berlangsung selama 12 hari melibatkan seramai 72 orang usahawan kraf dari seluruh Malaysia yang merangkumi bidang kraf tekstil, hasil tanah, hasil logam, hasil rimba dan aneka kraf. Platform ini menjadi pertemuan usahawan kraf dengan pembeli dari dalam negara seperti syarikat pengeksport barangan berkaitan kraf, agensi Kerajaan, syarikat perhotelan dan pusat beli belah.
Festival ini juga melibatkan penyertaan komuniti kraf baharu daripada 29 Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) dari empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Penyertaan PPKK adalah terdiri daripada enam (6) PPKK dari Perlis dalam bidang kraf batik dan anyaman rotan, 13 PPKK dari Kedah termasuk Pulau Langkawi yang merangkumi bidang kraf batik, anyaman buluh, anyaman rotan, logam, tempurung dan anyaman mengkuang. Manakala, lima (5) PPKK dari Perak dalam bidang kraf batik, anyaman rotan Orang Asli dan anyaman mengkuang serta lima (5) PPKK dari Pulau Pinang yang menghasilkan kraf batik, anyaman rotan dan sulaman manik.
Selain itu, FKU 2026 menawarkan pengisian aktiviti yang berlainan iaitu menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi seperti Program Jualan Rahmah MADANI oleh KPDN Negeri Perlis, Taklimat dan Pameran Keselamatan Kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Program Derma Darah oleh Hospital Tunku Fauziah Kangar, Pertandingan Mewarna dan Pertandingan Silang Kata oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta Pameran Askar Wataniah oleh Rejimen 504.
Pautan gambar:
https://drive.google.com/drive/folders/1ivDSE8dH6WmcV4cChne0sYAhwPLye4pR?usp=drive_link SUMBER: Kraftangan MalaysiaUNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:Nama: Nuraishah YaTel: +6018 3844780Emel: nuraishah@kraftangan.gov.my
--BERNAMA