KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyambut baik keputusan Kerajaan untuk mendedahkan dan menerbitkan laporan penuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH). Langkah ini mencerminkan komitmen terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik, di samping memenuhi hak masyarakat khususnya para pendeposit untuk memperoleh penjelasan yang menyeluruh berhubung pengurusan sebuah institusi amanah umat Islam di Malaysia.
TH bukan sekadar sebuah institusi kewangan tetapi institusi Islam yang menjadi kebanggaan negara. Selama lebih enam dekad, TH memainkan peranan penting dalam membantu umat Islam menyimpan secara teratur bagi menunaikan ibadah haji serta menguruskan operasi jemaah Malaysia dengan cekap. Keupayaan tersebut telah menjadikan TH antara model pengurusan simpanan dan haji yang dihormati serta dirujuk di peringkat antarabangsa.
IKIM berpandangan bahawa laporan RCI hendaklah dilihat sebagai ruang untuk mengambil iktibar, mengenal pasti kelemahan dan memperkukuh pembaharuan institusi, bukannya dijadikan bahan polemik atau penghukuman awal terhadap mana-mana pihak. Setiap dapatan dan syor perlu diteliti secara menyeluruh dan berasaskan fakta.
Dari perspektif Islam, pengurusan simpanan pendeposit ialah amanah besar yang mesti berteraskan prinsip hifz al-mal, keadilan, ketelusan dan integriti. Pelaksanaan syor RCI hendaklah mengutamakan kepentingan pendeposit, pematuhan Syariah, pengurusan risiko berhemah serta kemampanan TH. IKIM menyeru semua pihak memberi ruang kepada Kerajaan dan TH melaksanakan penambahbaikan secara teratur agar institusi ini kekal diyakini dan menjadi kebanggaan negara.
Sekian, terima kasih.
Prof Madya Dato' Dr Mohamed Azam bin Mohamed AdilKetua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
30 Julai 2026 |
15 Safar 1448HSUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIMNama: Pn. Hajah Fairuz binti Hj Noordin
Tel: 019-388 7600
Emel: fairuz@ikim.gov.my
Nama: Haji Mohd Faiz bin Othman
Tel: 012-2105658
Emel: faiz@ikim.gov.my
--BERNAMA