KOTA BHARU, 8 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan dan Nasrom Travel Sdn. Bhd., menganjurkan
Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) 2026. Festival yang berlangsung dari 1 hingga 4 Julai 2026 ini turut mendapat sokongan padu daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh serta Majlis Daerah Pasir Puteh, bertempat di Jeti Pelancongan Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.
Majlis perasmian festival telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud, bersama Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot. Turut menyerikan majlis ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, YB Datuk Kamarudin bin Md. Nor, serta Ketua Pengarah JKKN, YBrs. Encik Mohd Amran bin Mohd Haris.
FKRK 2026 mengetengahkan pelbagai pengisian seni budaya yang mencerminkan keunikan identiti dan warisan Negeri Kelantan. Antara tarikan utama ialah persembahan khas
“Titih Bonda Pusaka Ayahanda” yang menggabungkan pergendangan pelbagai kaum sebagai simbol keharmonian masyarakat, di samping mengangkat kepelbagaian seni tradisi Kelantan. Persembahan berprestij ini menampilkan tokoh-tokoh seni terkemuka seperti Roy Kapilla, Amy Search, Datuk Dr. Lim Swee Tin, Paksu Agil, Megat Haikal, Zamry Gerak Khas, Joe Rajuna, Kumpulan Dikir Barat Kala Mahajara, dan Kumpulan Mak Yong Kijang Mas.
Sepanjang festival berlangsung, para pengunjung berpeluang menyertai pelbagai pertandingan dan aktiviti interaktif menarik. Antaranya termasuklah Pertandingan Tarian Irama Tradisional Kanak-Kanak, Pertandingan Mek dan Awe Comey (Peragaan Busana Tradisional), Pertandingan Masakan ADABI, Pertandingan Gubahan Sirih Junjung Kelantan, Pertandingan Pulut Tradisi, serta Pertandingan Permainan Tradisional.
Selain itu, JKKN Kelantan turut menganjurkan demonstrasi sukan rakyat seperti Gasing Uri, pembuatan wau tradisi, dan ukiran emas, di samping persembahan fragmen seni tradisi seperti Wayang Kulit, Mak Yong, Main Teri, dan Menora. Festival ini turut dimeriahkan dengan jualan produk kraf, pameran agensi kerajaan serta NGO, serta program Kelantan Berselawat bagi mengimarahkan malam Jumaat.
Keunikan FKRK 2026 terus diserlahkan melalui kenduri rakyat (
bekwoh), perarakan Perahu Kolek Berhias dengan seni ukiran motif awan larat, serta Wakaf Seni Budaya. Wakaf ini menghimpunkan persembahan, pameran, dan perkongsian ilmu, termasuk pengisian khas bertajuk “Kearifan Tempatan di Alam Kecil Rumah Kelantan Tiang 12”.
Festival ini turut menyaksikan pelancaran
Rebana Ubi Inovasi, sebuah produk pasang siap yang lebih ringan, praktikal, dan mampu milik hasil penyelidikan sejak tahun 2022. Inovasi ini bertujuan memperkasa warisan rebana ubi agar kekal relevan dan mudah diwarisi generasi muda. Pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan kolaborasi unik antara rebana ubi tradisional dan inovasi.
Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot berkata, “FKRK 2026 dengan slogan
‘Pakat Maghi Belako, Tengok Mene Kito’ bukan sahaja memelihara warisan seni budaya, malah menjadi platform memperkukuh perpaduan, menyemarakkan semangat Malaysia MADANI, serta menyokong Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).”
Penganjuran FKRK 2026 membuktikan komitmen berterusan MOTAC dan JKKN dalam memelihara, memperkasa, dan mempromosikan warisan seni budaya negara sebagai aset pelancongan bernilai tinggi. Langkah ini sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan festival ini. Maklumat lanjut boleh didapati melalui media sosial rasmi JKKN di Facebook
@mysenibudaya atau laman sesawang
www.jkkn.gov.my.
Dikeluarkan Oleh:Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel: 03-2614 8200 Faks: 03-2697 0786
Laman Sesawang:
www.jkkn.gov.my E-mel:
ukk@jkkn.gov.my Platform Media Sosial Rasmi JKKN:Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya
Instagram, Twitter & YouTube: @mysenibudaya
SUMBER: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Eldawati binti Laung
Penolong Pengarah
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel: 019-8091805
E-mel: eldawati@jkkn.gov.my
Nama: Wan Rosli bin Wan Sidik
Pegawai Kebudayaan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kelantan
Tel: 019-3217513
E-mel: doria@jkkn.gov.my
--BERNAMA